Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

GV10: “Saya Selalu Berdoa Agar Sentiasa Sihat Untuk Buat Persembahan” - Ayai

Mya Amri
17/09/2023 08:55 MYT
Penyanyi, Ayai akui teruja untuk kembali beraksi dalam program realiti popular iaitu All Stars Gegar Vaganza (GV10).

Menurut Ayai, dia menerima tawaran itu sebagai bukti perjuangan seninya masih lagi diterima sehingga kini.

“Terima kasih kerana mengingati kami dan mengadakan semula GV, saya masuk ini untuk sekadar membuktikan perjuangan perjalanan seni saya pada tahun 77 hingga sekarang ini.

“Semuanya pesaing pesaing yang hebat, adik-adik, saya rasa saya yang paling tua. Perjalanan seni saya sehingga kini masih lagi diterima, terima kasih,” katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai GV10, Ayai berharap agar dia sentiasa berada dalam keadaan sihat sepanjang program itu berlangsung.

“Sebenarnya saya ada beberapa penyakit sebelum ini dan dalam proses berubat. Insha-Allah.

“Saya akan pastikan yang saya sihat sentiasa, jaga pemakanan, ubat-ubatan perlu ada untuk saya tingkatkan stamina, dapat mengatasi masalah tak sihat saya.

“Saya selalu berdoa, minta pada Allah agar sentiasa sihat supaya saya dapat menyanyi dengan baik dalam GV10 kelak,” ujarnya.

Ayai yang merupakan juara GV1 bersama sembilan juara lain akan berentap kembali di pentas GV pada 24 September ini.

Selain Ayai, All Stars Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

BACA: Juara Vs Juara! Senarai Penuh 10 Bintang All Stars Gegar Vaganza

All Stars Gegar Vaganza akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).

Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

#Gegar Vaganza #Ayai #Ayai Ilusi #GV10 #All Stars Gegar Vaganza
;