Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bakal Kahwin, Lee Ki Woo Sifatkan Calon Isteri Sebagai Tidak Kedekut

Maliah Surip
24/08/2022 05:45 MYT
Bintang drama My Liberation Notes, Lee Ki Woo baru mengumumkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang.

Khabar dirinya akan berkahwin dikongsikan dengan tulisan tangan dan disiarkan menerusi Instagram miliknya.

Tanpa memberikan butiran lanjut tentang calon isteri atau tarikh pernikahan mereka, Ki Woo hanya memberitahu mereka telah berkenalan beberapa tahun lalu, dan sifat baik yang dimiliki wanita tersebut membuatkan dia ingin hidup bersama.

“Hello, ini Lee Ki Woo. Ini pertama kali saya menyapa kalian menerusi khabar bertulisan tangan. Saya sedikit gementar namun teruja untuk berkongsi berita ini,

“Beberapa tahun lalu saya telah berjumpa seorang wanita yang tepat dan sangat melengkapi saya.

“Dia seorang yang tidak kedekut dan tidak lokek untuk berkongsi atau berbagi dengan pihak lain.

“Dia juga akan sentiasa ada untuk memberikan pertolongan kepada yang memerlukan tanpa rasa ralat,” tulis pelakon itu memuji calon isterinya seperti dilaporkan Soompi.

Ki Woo, 40, juga mengatakan kehidupannya menjadi lebih baik saat berkenalan dengan wanita yang bukan dalam kalang selebriti itu.

“Saya mahu memulakan hidup dan memiliki keluarga bersamanya kerana dia telah memberi semangat dan membuat saya mempunyai impian lebih besar pada masa hadapan,” katanya lagi.

Ki Woo memulakan karier menerusi filem Classic pada tahun 2003 dan terkini, dirinya menjadi kegilaan menerusi watak Jo Tae Hoon dalam drama My Liberation Notes yang baru berakhir pada Mei lalu.

#Kahwin #Viral #Korea #Isteri #Lee Ki Woo #My Liberation Notes
;