Cecah Hingga RM1,888, Peminat Dilema Nak Beli Tiket BLACKPINK - “Mahalnya! Tak Beli Nanti Nampak Macam Semut Pula”
Mya Amri
14/11/2022 10:23 MYT
14/11/2022 10:23 MYT
Pengumuman harga tiket konsert kumpulan K-Pop terkenal, BLACKPINK menerima pelbagai reaksi peminat.
Penganjur konsert BLACKPINK BORN PINK World Tour in Kuala Lumpur iaitu Live Nation memaklumkan perkara itu menerusi akaun Twitter rasmi mereka.
Bagaimanpun, rata-rata peminat meluahkan rasa kecewa dan hampa kerana harga tiket konsert berkenaan mencecah sehingga RM1,888.
Harga tiket yang tertera pada poster dijual bermula serendah RM388 hingga paling mahal iaitu RM1,888 untuk pakej VIP soundcheck.
Namun tidak hanya harga tiket, peminat juga menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kedudukan tempat duduk penonton yang kelihatan sangat jauh dari pentas bagi harga RM389 hingga RM788.
Antara komen yang diterima:
“Mahalnya! Tak beli nanti nampak macam semut pula, tiba-tiba teringat kejadian konsert Billie Eilish haih,”
“Nak marah tapi kena sabar... Stadium tu besar buat harga macam ei!”
“Fuiyyo sebulan gaji tu! Beli tiket lain kang tak nampak pula…”
“Sejarah mungkin berulang guys, siapa yang pergi mungkin boleh bawa teropong kot nampak macam ikan bilis ke kan,” luah beberapa netizen.
Tiket akan mula dijual pada 15 November untuk kelab peminat BLACKPINK menerusi aplikasi Weverse bermula 10 pagi.
Manakala tiket kepada umum pula akan mula dibuka 17 November bermula jam 10 pagi di www.golive-asia.com atau menerusi aplikasi GO Live
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket layari www.livenation.my
Terdahulu, BLACKPINK yang dianggotai Jennie, Lisa, Jisoo dan Rosé dijadualkan mengadakan konsert di Kuala Lumpur bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 Mac 2023.
Blackpink telah memulakan konsert jelajah dunia mereka bermula pada 15 Oktober lalu di Seoul, Korea Selatan sebelum bergerak ke Dallas, Amerika Utara pada 25 Oktober diikuti Houston, Atlanta, Hamilton, Chicago dan Newark.
Konsert jelajah kumpulan itu akan memasuki negara Asia bermula dengan persembahan di Bangkok, Thailand pada 7 Januari tahun depan