Sempena Seen Festival di Kuala Lumpur 2023, pihak penganjur iaitu CM Live berbesar hati membawa barisan bintang popular NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE khas buat peminat K-Pop.

Impian peminat NCT DREAM untuk menonton persembahan mereka kini akhirnya menjadi kenyataan.

Kumpulan yang popular dengan lagu Chewing Gum dan My First and Last serta lagu-lagu hits yang lain itu memulakan kerjaya mereka pada 2016 di bawah pengurusan SM Entertainment.

NCT DREAM mencipta sejarah K-pop apabila mereka menjadi kumpulan termuda yang mencapai status jutawan menerusi penjualan album penuh pertama mereka iaitu Hot Sauce.

Menyertai barisan festival ialah WayV, yang bermaksud "We Are Your Vision", kumpulan lelaki yang ditubuhkan oleh SM Entertainment.

Mereka memulakan kerjaya pada tahun 2019 dengan album single digital The Vision dan memenangi Anugerah Artis Asia Baharu Terbaik di Anugerah Muzik Asia Mnet pada tahun yang sama.

Berikutan penampilan mereka di SMTOWN Live 2022 pada Ogos tahun lalu, mereka membuat kemunculan semula dengan album mini keempat iaitu Phantom pada Disember lepas.

Selain itu, turut memeriahkan festival ini adalah kumpulan KARD yang dianggotai oleh BM, J.seph, Somin dan Jiwoo.

Mereka memulakan kerjaya pada penghujung 2016 dengan single Oh NaNa dan kemudiannya mencipta fenomena dengan lagu berjudul Don't Recall yang mendapat perhatian besar bukan sahaja di seluruh Asia tetapi juga dunia Barat.

Turut membuat persembahan pada festival itu juga ialah ALICE yang terdiri daripada tujuh anggota kumpulan iaitu Do-A, Yeonje, Yukyung, Sohee, Karin, EJ dan Chaejeong.

ALICE membuat penampilan sulung mereka pada tahun 2017 dengan keluaran mini album pertama iaitu WE.

Kumpulan ini juga terkenal dengan rangkaian hits mereka termasuklah Pow Pow, Summer Dream, JACKPOT, Power Of Love dan Dance On.

Seen Festival akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 28 Januari 2023 pada jam 6 petang.