Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Daesung Big Bang Mengaku Takut Selepas Tinggalkan YG Entertainment

Maliah Surip
03/01/2023 14:55 MYT
Peminat Big Bang atau VIP dikejutkan dengan berita dua anggotanya iaitu Daesung dan Taeyang mengambil keputusan meninggalkan syarikat YG Entertainment selepas 16 tahun ‘membesar’ di sana.

Pengumuman tersebut dibuat pada 27 Disember 2022. Bintang berusia 33 tahun itu bagaimanapun hanya keluar dari agensi, tetapi masih kekal berjuang dengan kumpulan Big Bang.

Selepas beberapa hari memasuki tahun 2023, Daesung menulis sepucuk surat. Dalam surat yang disiarkan oleh AllKPop tersebut, Daesung antaranya meluahkan perasaan selepas mengambil keputusan keluar dari agensi yang telah membesarkannya.

“Saya rasa sangat bertuah kerana semua pihak telah membantu saya membesar menjadi seperti sekarang.

“Dengan hati yang sangat ikhlas dan penuh syukur saya kini melangkah ke alam pengembaraan yang baharu.

“Bohong jika saya katakan tidak takut. Saya sangat gementar dengan keputusan besar yang sudah diambil, namun percaya semuanya akan berakhir baik,” luah Daesung.

Meski demikian, dia tidak mahu menjadikan rasa gementar dan kebimbangan menguasai dirinya. Dia mahu kariernya berkembang dan berharap 2023 menjadi tahun yang baik buatnya.

“Dengan kehadiran tahun 2023, saya mengambil langkah besar dan kuatkan hati untuk meneroka kerjaya.

“Tetaplah memberi sokongan walaupun saya sedar banyak kekurangan dan pengalaman yang harus diperbaiki.

“Terima kasih telah menyokong saya selama ini. Selamat tahun baru, semua,” tulisnya lagi penuh harap.

Daesung malah memuat naik sepotong video dan meninggalkan kapsyen berbunyi: “Ada yang kata tidak ada yang kekal. Tidak. Ada hal yang kekal…selamanya. Ia adalah Big Bang.”

Pada saat ini Taeyang telah memilih untuk bernaung di bawah The Black Label, manakala Daesung masih belum memberitahu tentang masa depan dan penghijrahannya.

Kredit Foto: Soompi

#Korea #Big Bang #VIP #Daesung #YG Entertainment
;