Kontroversi Paksa Bekas Teman Wanita Gugur Kandungan, Kim Seon Ho Mohon Maaf, Menyesal Sikap Tak Bertanggungjawab
Mya Amri
20/10/2021 10:45 MYT
20/10/2021 10:45 MYT
Pelakon utama drama Korea popular Hometown Cha-Cha-Cha, Kim Seon Ho membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kontroversi yang melanda dirinya.
Seon Ho secara peribadi mengeluarkan permohonan maaf dengan ikhlas menerusi agensinya, Salt Entertainment hari ini.
“Saya adalah Kim Seon Ho. Pertama sekali saya ingin memohon maaf atas kelewatan saya membuat kenyataan mengenai perkara ini.
“Setelah artikel yang merujuk kepada saya dikeluarkan saya berasa takut dan baru kini saya mempunyai keberanian untuk membuat kenyataan.
“Saya telah bertemu dengannya secara baik. Dalam proses pertemuan, saya telah menyakitinya dengan tingkah laku dan kelakuan saya yang tidak bertimbang rasa.
“Saya ingin bertemu dan meminta maaf kepadanya dengan tulus secara berdepan... Saya menunggu masa dan peluang itu tiba.
“Buat masa ini, saya ingin benar-benar meminta maaf kepadanya melalui pernyataan ini.
“Saya juga ingin meminta maaf kerana mengecewakan semua pihak yang mempercayai dan menyokong saya sehingga akhir.
“Dengan sokongan kalian, saya dapat berdiri sebagai pelakon Kim Seon Ho, tetapi saya terlupa akan hal itu.
“Saya minta maaf kerana menimbulkan masalah kepada semua, termasuklah individu yang pernah bekerjasama dengan saya.
“Saya dengan tulus ingin meminta maaf dengan semua orang yang telah terluka. Saya tahu bahawa tulisan saya ini tidak dapat memuaskan hati semua orang, tetapi saya benar-benar ikhlas dan berasa sangat menyesal,” jelasnya.
Ini merupakan kenyataan pertama Seon Ho selepas tiga hari berita itu tersebar.
Kontroversi ini juga menyebabkan Dominos Pizza telah menarik balik iklan yang menampilkan Seon Ho.
Tidak cukup dengan itu, Seon Ho juga digugurkan daripada beberapa projek lakonan akan datang termasuklah filem berjudul Dog Days serta kemunculan dalam program variati, 2 Days & 1 Night musim ke-4.
Terdahulu, industri hiburan Korea dikejutkan dengan kontroversi melibatkan Kim Seon Ho iaitu pelakon utama drama popular yang baru sahaja melabuhkan tirainya, Hometown Cha-Cha-Cha.
Seorang individu A yang mendakwa dirinya bekas teman wanita Seon Ho mendedahkan aktor itu pernah memaksa dirinya menggugurkan kandungan.
Sebelum ini, wanita itu hanya memberi bayangan sebagai 'aktor K' namun selepas kontroversi itu tular, ramai yang membuat spekulasi bahawa pelakon dimaksudkan itu merujuk kepada Seon Ho.
Sumber: Soompi , Koreaboo, Allkpop
#Gempak Chingu
#Kim Seon Ho
#Hometown Cha-Cha-Cha
#Kontroversi Korea
#Paksa Gugur
#Paksa Teman Wanita Gugur Kandungan