Tiada siapa yang mahukan perkahwinan berakhir dengan perceraian, begitu juga dengan ahli kumpulan Ruffedge iaitu Cat Farish yang sudah melafazkan cerai sebanyak tiga kali terhadap isterinya, Suriani Hassan pada 13 Disember lalu.

Dua tahun banyak menghabiskan masa bersama keluarga, Cat mengakui dia masih menyayangi Suriani malah turut merindui anak-anak kepada isterinya.

“Siapa cakap tak sayang, mestilah sayang. Ikutkan sepanjang perkahwinan, kami tak ada pun bergaduh sangat, cuma ada la beberapa part yang tak setuju. Sejujurnya saya pun rindu anak-anak.

“Dua tahun saya luangkan masa bersama keluarga saya. Bila jadi macam ini, saya jadi terfikir betul ke kami bergaduh… jadi tanda tanya. Yela, siapa kahwin nak cerai kan. Benda ini jadi terlalu pantas dan mengejut,” katanya kepada Gempak.

Berkongsi mengenai kejadian tidak diingini terjadi, Cat mendedahkan dia telah melafazkan cerai terhadap isterinya sebanyak tiga kali disebabkan ketika itu berlaku pertengkaran antara mereka.

“Lafaz yang saya ucapkan itu sebanyak tiga kali. Saya ini jenis suka ulang cakap, jadi ketika itu lafaz tu berulang kali disebut. Kawan-kawan ada bagi saya video ceramah UIA mengenai talak.

“Ikutkan yang saya faham, tetap sekali talak dan ia sah namun berdosa. Tapi apa-apa pun kena tunggu apa keputusan mahkamah nanti untuk lebih jelas,” ujarnya.

Cat dan Suriani berkahwin pada 20 November 2020, namun pasangan itu tidak dikurniakan anak.

Sebelum ini, Cat pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli namun bercerai pada April 2016 dan hasil mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nia Karlyssa, 14, Eva Latheefa, 12, dan Qul Iskandar, 11.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.