Pelakon Bell Ngasri mengesahkan tiada pengganti Shuk Sahar dalam kumpulan Tobat selepas penarikan diri pelawak tersebut dari program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021, minggu lalu.

Bell ketika dihubungi Gempak berkata, buat masa ini kumpulan Tobat tidak membayangkan akan mempunyai pengganti Shuk.

Katanya, dia dan Ropie akan terus memberikan persembahan terbaik meskipun terpaksa ‘bermula semula’ seperti kumpulan baru.

“Jujur saya katakan, terasa juga bila Shuk tarik diri, kerana kumpulan ini ditubuhkan pun atas idea dia. Shuk tulang belakang Tobat dan senang bekerja dengan dia.

“Apapun kami menghormati keputusan Shuk dan Kumpulan Tobat akan memberikan yang terbaik walaupun kami terpaksa bermula balik.

“Ibaratnya minggu ketiga ini nanti macam minggu pertamalah buat Tobat,” katanya.

Dalam pada itu, Bell mengharapkan agar peminat Tobat terus memberikan sokongan kepada mereka di samping mengucapkan terima kasih kepada yang tidak jemu-jemu meniupkan kata-kata semangat dan positif buat mereka.

“Terima kasih kepada yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata positif kepada Tobat. Diharapkan sokongan anda kepada Tobat berterusan.

“Walaupun saya dan Ropie sebenarnya agak gementar memikirkan nasib kami selepas tinggal berdua ni,” kata Bell jujur.

Pada minggu lalu, pengacara MLM 2021 Datuk AC Mizal mengumumkan Shuk Sahar menarik diri dari pentas MLM 2021 kerana masalah peribadi.

MLM 2021 dibawakan secara langsung setiap Jumaat, 9 malam ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Sementara itu penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara “Backstage MLM 2021”, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM 2021.

Manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memegang peranan sebagai pengacara program Live Plus (Live +).