Tidak disangka rupanya pelakon, Luqman Hafidz juga merupakan peminat setia program popular, Running Man.

Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagramnya, Luqman melahirkan rasa sedih apabila anggota Running Man, Lee Kwang Soo mengambil keputusan untuk meninggalkan program berkenaan.

Kata Luqman sepanjang 11 tahun menjadi peminat Running Man, dia banyak menimba ilmu menerusi perwatakan Kwang Soo.

“Mungkin ini nampak mudah bagi orang lain tetapi sangat beremosi untuk saya. Running Man banyak membantu saya.

“Selama 11 tahun saya mengikuti program itu dan lelaki ini merupakan antara penyebab utamanya.

“Seorang yang sangat lurus, menghiburkan, kelakar, mengambil berat dan penyayang sepanjang program bersiara. Dia juga sangat disayangi oleh ramai orang,” tulisnya.

Menjadikan Kwang Soo sebagai idola, Luqman mengakui pelakon Korea itu juga merupakan rujukannya dalam bidang lakonan.

“Apabila lakonan menjadi bidang kerjaya saya, dia merupakan salah satu rujukan saya dalam komedi.

“Kini dia telah mengucapkan selamat tinggal. Terima kasih atas segala apa yang anda lakukan dalam Running Man.

“Terima kasih untuk gelak ketawa dan terima kasih juga untuk kenangan manis. Saya akan terus menyokong dan mengharapkan yang terbaik untuk anda,” kongsinya.

A post shared by Luqman Hafidz (@luqmanhafidzx)

Terdahulu, Running Man mula ditayangkan pada 11 Julai 2010 dan anggota asalnya adalah Yoo Jae Suk, Jee Seok Jin, Kim Jongkook, HaHa, Song Ji Hyo, Kang Gary, Lee Kwang Soo, Song Joong Ki dan Lizzy.

Kini Running Man ditambah dengan dua ahli baru iaitu Jeon So Min dan Yang Se Chan selepas ketiadaan Song Joong Ki, Lizzy, serta Kang Gary.

Bagaimanapun pada 27 April lalu, Kwang Soo juga telah membuat keputusan mengejut apabila memilih untuk mengundurkan diri dari Running Man selepas 11 tahun bersama.

BACA: No more Girin... Lepas 11 Tahun Bersama, Lee Kwang Soo Sah Tinggalkan Running Man

Keputusan itu dibuat kerana Kwang Soo memerlukan masa untuk pemulihan selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya akibat kemalangan tahun lalu.

Episod akhir Running Man bersama Kwang Soo akan ditayangkan pada Jumaat, 18 Jun 2021, jam 11 malam di ONE (saluran 393).

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Jangan lupa juga untuk mentonton drama bersiri ‘Ahli Bapak Bapak Club’ bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Mei 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104).

Drama ini juga turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebihfleksibel.