Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#OhDaebak: Dari 2008, Muzik Dan Simbol Unik, Ini Lima Perkara Yang Anda Tak Tahu Tentang Squid Game!

Mya Amri
19/09/2021 15:06 MYT
Baru sahaja ditayangkan pada 17 September lalu namun drama Korea, Squid Game berjaya memberikan fenomena sehingga menjadi viral di media sosial.

Tidak memerlukan pelakon muda yang kacak untuk menarik perhatian penonton, jalan cerita Squid Game itu sendiri sudah cukup membuatkan peminat drama melekat di hadapan televisyen.

Rata-rata yang sudah menonton juga turut terpana dengan kreativiti pengarah Squid Game, Hwang Dong Hyuk dalam menyampaikan naskhahnya.

Minggu ini #OhDaebak ingin kongsikan beberapa fakta menarik tentang Squid Game yang sememangnya mind-blowing ini!


1. Asal usul tajuk Squid Game


Pencipta dan pengarah Squid Game, Hwang Dong Hyuk menjelaskan judul siri ini datangnya dari permainan sewaktu zaman kanak-kanak yang sering dimainkannya ketika kecil. Tidak kira sama ada di sekolah atau pun jalan-jalan di kawasan sekitar kejiranan.

Squid Game adalah kisah tentang orang-orang yang biasa bermain permainan ini sebagai kanak-kanak dan kembali memainkannya sebagai orang dewasa.

Menurut Dong Hyuk, permainan fizikal kesukaannya ini juga boleh menjadi antara permainan kanak-kanak paling simbolik yang dapat mewakili kehidupan masyarakat yang kita jalani sekarang.


2. Segalanya bermula pada tahun 2008


Sebenarnya draf pertama Squid Game ditulis pengarah sejak tahun 2008 sebelum beberapa filem hitnya seperti Silently and The Fortress.

Dong Hyuk telah menyelesaikan naskhahnya pada tahun 2009 namun pada ketika itu karya tersebut dianggap sebagai terlalu rumit dan tidak komersial.

Selain itu, dia juga tidak mendapat pelaburan yang cukup membuatkan ia sukar untuk dilakukan. Pengarah juga mengucapkan terima kasih kepada Netflix kerana diberi kebebasan secara kreatif untuk menghasilkan karyanya.


3. Squid Game bukan biasa-biasa


Walaupun terdapat persamaan yang dirasakan dengan pertunjukan genre survival yang lain, Squid Game mempunyai sifat unik yang boleh membezakannya.

Antara adalah bagaimana para peserta ini dengan mudah mengambil bahagian dalam permainan membabitkan nyawa.

Daripada permainan itu sendiri, Squid Game lebih memfokuskan kepada bagaimana mereka bertindak dan apakah cara mereka bertindak balas.

Kebiasaannya kita melihat pemenang dalam sesuatu permainan survival bertahan tetapi dalam Squid Game, kita akan melihat yang kalah. Tanpa kalah, tidak ada pemenang.


4. Karakter-karakter yang tidak dapat dilupakan


Dengan penglibatan 456 peserta mencuba nasib untuk bertahan, tidak mustahil kesemuanya hadir dengan pelbagai latar belakang berlainan yang mewakili kehidupan masyarakat.

Masing-masing berdepan dengan situasi terdesak di mana mereka perlu berfikir bagaimana cara untuk hidup dan secara tidak langsung menyebabkan individu-individu tersebut terlibat dalam permainan berbahaya.

Antaranya kisah Gi Hun (Lee Jung Jae), seorang duda yang bergelut dengan kehidupannya selepas gagal dalam perniagaan dan terpaksa berhutang.

Rakan yang juga jirannya, Sang Woo (Park Hae Soo) pula merupakan seorang berkelulusan universiti dan bekerja di sebuah syarikat pelaburan namun terlibat dengan situasi yang tidak dijangka.

Sae-byeok (Jung Ho Yeon) yang merupakan pembelot Korea Utara berusaha untuk menyatukan kembali keluarganya. Watak lain yang menarik termasuklah Deok Su (Heo Sung-tae) iaitu seorang gangster dan Jun Ho (Wi Ha-jun), seorang pegawai polis yang menemui permainan ini ketika mencari saudaranya yang hilang.

Melihat kepada perbezaan watak yang dilakonkan oleh bintang-bintang hebat ini secara tidak langsung membawa penonton mendalami kisah mereka.


5. Simbol bermakna, set penggambaran yang hebat dan pemilihan muzik


Sebagai faktor tambahan, terdapat begitu banyak simbol atau kiasan bijak yang bertujuan untuk mewakili masyarakat kontemporari dan persaingan kapitalisme yang tidak pernah berakhir.

Antaranya sifat manusia yang berubah-ubah, persaingan yang kejam dan tidak seharusnya meletakkan kepercayaan dengan cepat terhadap orang lain.

Selain itu, set penggambarannya juga turut diambil kira kerana para pelakon juga memuji perincian dan ketelitian penghasilannya.

Selain itu, mereka juga kagum kerana pengarahnya tidak terlalu bergantung pada grafik komputer sebaliknya lebih suka memilih set yang lebih realistik dan berskala besar untuk mendapatkan hasil ketepatan naskhah ciptaannya.

Malah muzik dipilih juga bukan sekadar ‘kosong’, melodi itu mencerminkan apa yang didengari oleh kanak-kanak pada tahun 70-an dan 80-an sehingga menghasilkan rasa yang nostalgia buat penonton.

Bagaimanapun ini hanyalah sebahagian fakta menarik yang #OhDaebak senaraikan, untuk tahu power tak power siri ni, korang memang kena tonton sendiri.

BACA: Squid Game, Bila Permainan Kanak-Kanak Bertukar Nyawa, Hidup Dan Mati

Saksikan Squid Game secara eksklusif hanya di Netflix.


Sinopsis:

Seramai 456 orang telah berjuang dalam hidup diundang untuk menyertai pertandingan misteri bernama Squid Game.

Mereka perlu bersaing dengan serangkaian permainan kanak-kanak tradisional yang penuh dengan liku-liku sehingga membahayakan nyawa mereka hanya untuk mendapatkan hadiah berupa wang tunai bernilai RM162 juta.

Untuk info: Squid Game merupakan permainan kanak-kanak tradisional rakyat Korea pada zaman 70an - 80an dan permainan ini melibatkan fizikal.

Terdapat dua pihak iaitu penyerang dan bertahan. Permainan ini dinamakan Squid Game kerana pemain akan melukis pelbagai bentuk geometri atas tanah (bulat, segi tiga, petak) yang menghasilkan bentuk seakan Sotong.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

#OhDaebak merupakan kolum baharu dalam Gempak Chingu yang dikeluarkan setiap Ahad. Berkonsepkan santai, #OhDaebak akan berbicara apa sahaja tentang Korea termasuklah K-Pop, K-Drama, lifestyle, makanan atau topik-topik yang sering dibualkan K-fans. Come on! It’s spazzing time guys!

#Artis Korea #Drama Korea #K-Drama #Netflix #Netflix Korea #Oh Daebak #Squid Game #OhDaebak
;