Setiap tahun, drama Korea atau popular dengan sebutan K-drama ini tidak pernah mengecewakan pengikut setianya dengan pelbagai siri terbaru dengan jalan cerita unik.

Itu belum termasuk dengan mutu lakonan, penampilan dan juga keserasian para pelakon sewaktu beraksi di hadapan kamera.

Oh! Kalau nak tahu K-drama bergenre komedi juga menjadi salah satu pilihan kegemaran penonton ya.

Antara K-drama yang masih ditonton berulang-ulang hingga ke hari ini adalah Full House (2004), My Love From The Star (2013), Weightlifting Fairy Kim Bok Joo (2016), Legend of The Blue Sea (2016), Strong Woman Do Bong Soon (2017) dan Mr Queen (2020).

Terbaharu, drama berjudul So I Married an Anti-Fan lakonan Choi Tae Joon, Sooyoung SNSD dan Chansung juga berjaya memikat hati penonton.

Rata-ratanya memuji jalan cerita dan juga skrip drama berkenaan selain keserasian pelakon yang membuatkan drama tersebut nampak neutral.

Tapi apa pula pendapat pelakon-pelakonnya kan?

Inilah yang dikataka langkah kanan apabila #OhDaebak berpeluang untuk menemu bual Choi Tae Joon, Sooyoung SNSD dan Chansung menerusi iQiyi. Ini komen mereka:

#OhDaebak: Bagaimanakah keserasian anda dengan pelakon utamanya?

Sooyoung: Saya dan Tae Joon kerap bergurau, jadi sangat mudah untuk merakamkan babak bergaduh kami. Disebabkan Tae Joon ini memang seorang yang sangat kelakar jadi kami saling suka mengusik.

#OhDaebak: Apakah cabaran utama membawakan watak Ho Joon?

Choi Tae Joon: Saya agak takut untuk memegang watak sebagai seorang penyanyi. Sebenarnya saya tak begitu suka menyanyi dan menari, jadi saya risau penonton tak dapat merasai watak Ho Joon yang saya tunjukkan disebabkan itu ia membuatkan saya sedikit tertekan.

#OhDaebak: Apakah faktor utama yang menyebabkan anda tertarik dengan naskhah ini?

Chansung: Pertama sekali, saya tidak sabar nak membina keserasian bersama pelakon lain dan juga pengarahnya. Saya juga teringin sangat nak mainkan watak penjahat.

#OhDaebak: Jadi apa pendapat tentang karakter yang dimainkan oleh anda?

Chansung: Watak JJ sangat menyedihkan. Dia tak pernah menerima kasih sayang dan dipedulikan keluarganya. Dia rasa dia tak boleh dibandingkan dengan abangnya daripada segala aspek. Oleh kerana dia membesar dalam keluarga sebegitu, dia banyak menanggung beban.

Oleh itu, interaksi sosial dan hubungan interpersonalnya agak bercelaru. Apabila orang tengok JJ dalam drama itu, mereka mungkin rasa, “teruknya dia,” atau “kenapa dia buat begini?” Tapi kadangkala, anda akan faham sebabnya dan kasihankan dia.

Bagi yang belum menonton, jangan lupa saksikan drama So I Married An Anti-Fan di aplikasi iQiyi atau iQ.com.

So I Married An Anti-Fan juga turut ditayangkan di Astro iQiyi (saluran 300)

So I Married An Anti-Fan ini mengisahkan tentang hubungan seorang idol ternama Korea dengan reporter majalah yang menjadi anti-fan dirinya.

Kisah bermula apabila Lee Geun Young (Sooyoung) yang ditugaskan untuk membuat liputan eksklusif di kelab bersama Ko Soo Hwan (Kim Min-kyu).

Kemudian berlaku sedikit salah faham dengan Ho-joon (Choi Tae Joon) sehingga menyebabkan kamera milik pejabat Geun Young rosak.

Sejak kejadian itu, timbul perasaan benci Geun Young terhadap Ho Joon sehingga menjadi anti fan.

Namun pada suatu hari, seorang produser menemui Geun Young dan mengajaknya untuk membintangi variety show yang mahukan artis tinggal bersama dengan anti-fan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

#OhDaebak merupakan kolum baharu dalam Gempak Chingu yang dikeluarkan setiap Ahad. Berkonsepkan santai, #OhDaebak akan berbicara apa sahaja tentang Korea termasuklah K-Pop, K-Drama, lifestyle, makanan atau topik-topik yang sering dibualkan K-fans. Come on! It’s spazzing time guys!