Penyanyi K-Pop, Wonho mengundang kerisauan peminat selepas tiba-tiba rebah dan pengsan sewaktu membuat persembahan untuk konsertnya, We Are Young semalam.

Wajah Wonho menunjukkan dia seolah-olah menahan kesakitan dan terpaksa diiring ke luar pentas.

Peminat yang menghadiri konsert tersebut memaklumkan perkembangan terkini Wonho menerusi media sosial Twitter.

Mereka menyatakan rasa bimbang dan keliru dengan kejadian yang berlaku dalam sekelip mata.

Bagaimanapun mereka memaklumkan Wonho membuat keputusan untuk meneruskan persembahan selepas menerima rawatan.

Wonho kemudiannya kembali ke hadapan pentas meneruskan persembahan seperti biasa selain meminta peminat supaya tidak bimbang dengan keadaannya yang kian pulih.

Agensi Wonho, HIGHLINE Entertainment menjelaskan Wonho telah menerima rawatan profesional dan meneruskan persembahan sambil di pantau pihak perubatan.

“Semasa konsert berlangsung, Wonho telah menunjukkan tanda-tanda hiperventilasi. Dengan bantuan pengawal keselamatan, dia selamat diiring keluar dari pentas dan dibawa ke kakitangan perubatan di set.

“Setelah menerima rawatan profesional, Wonho menjadi cukup stabil dan ingin menyambung semula persembahan. Selepas perbincangan menyeluruh dengan kakitangan perubatan, Wonho kembali ke atas pentas untuk meneruskan persembahan.

“Sepanjang konsert berlangsung, kakitangan perubatan kekal di set dan mengawasi keadaan Wonho dengan teliti. Konsert itu berakhir dengan jayanya.

“Kami ingin memohon maaf kepada peminat yang terkejut dengan kejadian itu. Terima kasih banyak atas kasih sayang dan sokongan anda yang tidak berkesudahan untuk Wonho.

“HIGHLINE Entertainment akan terus memantau kesihatan Wonho dengan teliti, kami berjanji akan melakukan segala-galanya untuk terus memberikan sokongan yang diperlukan,” jelas kenyataan rasmi itu.

Untuk info, Wonho merupakan bekas anggota kumpulan K-Pop popular, MONSTA X.

Wonho mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan tersebut pada 31 Oktober 2019 selepas namanya terpalit dengan kontroversi dakwaan hutang selain didakwa melanggar undang-undang pada usia mudanya.

Penyanyi ini membuat keputusan itu kerana tidak mahu memberikan masalah dan kesan negatif yang boleh mencalarkan nama MONSTA X.

Namun ternyata dakwaan tersebut tidak benar dan Wonho didapati tidak bersalah.

Wonho kemudiannya kembali dan membuat debut dalam industri hiburan sebagai artis solo.

Sumber: Koreaboo

Kredit foto: Dispatch