Artis Korea
Pemandu Van Mabuk, YG Entertainment Mohon Maaf iKON Kemalangan
Anggota kumpulan K-Pop iKON, Jinhwan dan Junhoe dilaporkan terlibat dengan kemalangan jalan raya semalam.
Agensi mereka, YG Entertainment mengesahkan perkara itu dan memohon maaf atas kemalangan yang berlaku.
Menurut YG, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemandu mereka yang memandu dalam keadaan mabuk selain siasatan dilakukan.
“Kami mengesahkan bahawa kenderaan dengan beberapa anggota iKON di dalamnya mengalami kemalangan pada 13 Julai di Laluan 3 menuju dari Sacheon ke Namhae.
“Menurut doktor kecederaan yang dialami pemandu "A" serta anggota iKON adalah ringan dan setelah mendapat rawatan kecemasan, mereka kini sedang berehat di rumah.
“Agensi berasa bertanggungjawab terhadap kemalangan yang berlaku walaupun terdapat peraturan dalaman yang ketat mengenai pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Kami akan melakukan penyiasatan dalaman yang menyeluruh dan mengambil tindakan yang sewajarnya dan pemandu "A" akan memberikan kerjasama dengan polis ketika siasatan dijalankan.
“Kami dengan setulus hati memohon maaf mengenai perkara ini,” jelas wakilnya.
Terdahulu, kemalangan berlaku kira-kira jam 3:40 pagi (waktu Korea) apabila van dinaiki mereka tergelincir dalam hujan dan melanggar tembok penahan jalan raya di Namhae yang terletak di Wilayah Gyeongsang Selatan.
Polis kemudiannya mendapati pemandu van tersebut memandu dalam keadaan mabuk.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU
Sumber: Soompi