Filem Korea Squid Game menjadi tular selepas penayangannya dan sudah pasti antara yang menarik perhatian penonton adalah simbol dan juga nombor pada kad permainan itu.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila nombor telefon yang tertera pada kad berkenaan sebenarnya wujud!

Pemilik sebenar nombor itu mendedahkan dia berasa tertekan kerana kerap diganggu dengan panggilan tidak dikenali oleh mereka yang menonton Squid Game.

Menjelaskan kepada Money Today, mangsa memberitahu dia telah menggunakan nombor itu sejak 10 tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang masalah seperti ini.

“Selepas Squid Game ditayangkan, saya telah menerima pelbagai mesej dan panggilan tanpa henti, 24 jam sampaikan satu tahap saya rasa sukar untuk meneruskan kehidupan harian.

“Saya telah menggunakan nombor ini lebih daripada 10 tahun jadi saya agak terkejut. Terdapat lebih daripada 4000 nombor yang saya terpaksa padamkan.

“Sehinggakan ada yang menghubungi nombor ini tidak kira siang atau malam disebabkan perasaan ingin tahu mereka.

“Perkara itu menyebabkan bateri telefon saya cepat habis dan padam dengan sendiri. Pada mulanya saya tidak mengetahui perkara itu kemudian rakan saya memberitahu bahawa nombor saya dipaparkan dalam Squid Game dan dari situlah saya tahu,” jelasnya.

Bagaimanapun pihak produksi, Siren Pictures masih belum memberikan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Saksikan Squid Game secara eksklusif di Netflix

Untuk yang belum menonton, satu kad nama akan diberikan kepada mereka yang berpotensi untuk menjadi pemain Squid Game.

Pemain harus menghubungi nombor yang tertera di bahagian belakang kad tersebut untuk membolehkan mereka dijemput ke lokasi Squid Game.