Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Son Ye Jin Selamat Bersalin, Hyun Bin Kini Dah Jadi Bapa!

Mya Amri
28/11/2022 03:57 MYT

Pasangan selebriti terkenal Korea, Hyun Bin dan Son Ye Jin selamat menimang cahaya mata lelaki.

Berita gembira itu disahkan oleh agensi Ye Jin, MSteam Entertainment dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Menurut agensinya, Ye Jin dan juga putera sulung kesayangannya itu berada dalam keadaan sihat.

“Son Ye Jin selamat melahirkan seorang bayi lelaki hari ini (Ahad). Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat,” maklum agensinya ringkas.

Sebelum ini dilaporkan tarikh jangkaan bersalin Ye Jin sepatunya pada bulan Disember namun pelakon cantik ini bersalin lebih awal.

Terdahulu, Ye Jin dan Hyun Bin melangsungkan perkahwinan mereka pada 31 Mac 2022 dan mengambil keputusan untuk berbulan madu di Amerika Syarikat pada April tahun yang sama.

Rezeki kemudiannya berpihak kepada pasangan romantik ini kerana Ye Jin mengumumkan kehamilannya di platform media sosial iaitu Instagram pada Jun lalu.

Ye Jin dan Hyun Bin juga merupakan pelakon utama bagi drama Korea yang menjadi hit di seluruh dunia berjudul Crash Landing On You.

#Bersalin #Cahaya Mata #Hyun Bin #Son Ye Jin #Artis Korea Bersalin