“Terima Kasih Untuk 16 Tahun…” - Surat BIGBANG T.O.P, Sentuh Hati Peminat
Mya Amri
07/04/2022 15:22 MYT
07/04/2022 15:22 MYT
Anggota BIGBANG, T.O.P telah menulis surat kepada peminat selepas pelancaran single terbaharu kumpulan itu yang berjudul Still Life.
T.O.P memuat naik surat yang ditulis dalam Bahasa Inggeris itu di akaun Instagram miliknya.
Kandungan surat itu menyatakan isi hatinya yang gembira dan berterima kasih kepada peminat kerana berada bersama sejak 16 tahun lalu.
“Akhirnya muzik kami telah pun muncul. Saya tidak akan berasa di sini tanpa bantuan kakitangan YG.
“Terima kasih semua untuk 16 tahun yang lalu. Segalanya amat bermakna bagi saya.
“Saya sedang berfikir, kemungkinan saya akan melalui satu lagi perubahan penting dalam kehidupan pada buat masa ini.
“Saya sangat menantikan hari itu di mana saya akan kembali sebagai seorang yang memberikan inspirasi pada masa hadapan.
“Saya amat berterima kasih kepada peminat saya. Sekali lagi, terima kasih,” tulisnya.
Surat T.O.P itu ternyata menyentuh hati peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula mereka.
Still Life merupakan kemunculan semula pertama BIGBANG dalam tempoh empat tahun.
Sepanjang tempoh tersebut pelbagai ujian dan kontroversi melanda kumpulan gergasi Korea ini yang melibatkan salah seorang anggotanya iaitu Seungri.
Kemunculan semula BIGBANG kali ini hanya bersama empat orang anggota iaitu G-Dragon, Taeyang, Daesung dan T.O.P.
Dalam perkembangan lain, T.O.P telah mengambil keputusan untuk meninggalkan agensinya, YG Entertainment pada awal tahun ini.
Untuk info, T.O.P telah bersama dengan YG selama 16 tahun.