[VIDEO] “Sebaknya Tengok… Patut Ramai Sayang” - Song Ji Hyo Guna Bahasa Isyarat, Layan Peminat OKU Dengan Ikhlas

Mya Amri
Mac 19, 2023 12:41 MYT
Pelakon dan juga anggota Running Man, Song Ji Hyo menjadi perhatian netizen apabila satu video tular merakamkan dirinya melayan peminat golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Lebih istimewa lagi, Ji Hyo bukan sahaja tersenyum malah menggunakan bahasa isyarat bagi menyantuni peminat itu dengan ramah.
Difahamkan momen manis itu berlaku sewaktu kunjungan Ji Hyo ke Malaysia sebagai duta produk kecantikan Glutanex bagi sesi bertemu peminat yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu.
Video itu juga turut merakamkan Ji Hyo bangun daripada kerusi untuk mengambil gambar kenangan bersama keluarga wanita itu sebelum mendukung salah seorang anak peminat itu dengan membawanya ke tempat duduk mereka.
Tindakan Ji Hyo itu ternyata mengundang rasa terharu netizen yang rata-ratanya memuji keperibadian bintang terkenal Korea itu.
“Memang sangat terharu, kenapa aku yang rasa sebak bila tengok ni? Ji Hyo belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan peminat OKU, sweetnya,” luah seorang netizen.
“Dah kenapa aku yang menangis pula ni… Patutlah ramai yang sayang dan minat Ji Hyo, memang tak sombong langsung,” puji seorang lagi netizen.
“Inilah antara sebabnya kenapa kami minat dengan Ji Hyo, selebriri kelas A yang tak sombong, ada humanity dan sangat ikhlas melayan peminat,” tulis seorang lagi.
Terdahulu, Ji Hyo merupakan antara artis Korea yang sangat dikenali dengan sikap berbudi bahasa dan juga merendah diri.
#Song Ji Hyo #Fanmeeting #Artis Korea #Man #OKU #Running #Bahasa Isyarat #Glutanex #Language #Sign