Kesihatan | Health

#GempakSpot: "9 Hari Selepas Keluar Hospital, Saya Diberhentikan Kerja"

gempak
Badrul Hashim
23/06/2020
10:15 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: "9 Hari Selepas Keluar Hospital, Saya Diberhentikan Kerja"
Kisah ini dikongsi oleh Naqiah Jalaludin melalui Akaun Twitternya @NaqiahJ dan juga berkongsi cerita terus bersama kami di Gempak. Ini merupakan bahagian kedua kisah Naqiah selepas dia keluar daripada hospital.
Baca Bahagian pertama: #GempakSpot: "Pelik Kenapa Hidung Tersumbat Sedangkan Batuk Pula kering Dan Hidung Juga Kering, Sampai Terpaksa Masuk Air Dalam Hidung"
Sembilan hari selepas keluar daripada hospital, saya diberhentikan kerja. Mungkin bukan rezeki, tetapi saya tetap mahu mencari kerja baru. Alhamdulillah saya dapat peluang untuk hadir temuduga kerja dua hari selepas Aidilfitri.
Tetapi pada hari yang sepatutnya saya hadir untuk temuduga, saya demam dan saya juga bimbang untuk hadir, jadi saya beritahu mereka keadaan saya. Mereka sedikit cuak, dan minta saya buat ujian baru untuk Covid.
Jadi pada hari Selasa saya buat ujian lagi seperti yang disyaratkan oleh tempat kerja baru. Doktor dari hospital swasta menghubungi saya pada hari Rabu dan beritahu keputusan saya masih lagi positif. Rasa kecewa tak dapat dibendung biarpun doktor menjelaskan panjang lebar kerana masih banyak perkara yang tidak diketahui.
Saya diminta untuk kuarantinkan diri selama 14 hari di rumah dan pihak hospital telahpun menghubungi PKD tentang kes saya. Saya tak dapat hilangkan rasa takut dan bimbang jika saya menjangkiti kontak rapat saya kerana doktor daripada hospital swasta tersebut tidak pasti jika saya pembawa wabak aktif atau tidak aktif.
Suami saya ada menghubungi PKD Petaling (tetapi tidak dapat bercakap dengan doktor), dan saya diberitahu bahawa saya perlu dimasukkan ke wad kembali. Saya hubungi doktor di PKD Petaling yang saya pernah hubungi sebelum ini dan dia memberitahu informasi terkini dan lebih jelas.
Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua pengarah Kesihatan, Dr Hisham dalam satu sidang media (kebetulan berkaitan dengan kes saya), jika bekas pesakit yang sudah sembuh dan membuat ujian selepas berbulan-bulan sembuh, keputusannya akan positif. Masih ada 'serpihan' virus di dalam badan kita, tetapi ianya tidak berjangkit.
Mereka juga akan mengira jumlah virus di dalam badan, dan jika jumlahnya rendah, ianya tidak aktif. Saya melakukan ujian RTL-Antibody awal hari ini kerana doktor mahu memastikan badan saya mempunyai antibodi melawan virus Covid. Pesakit yang sudah sembuh akan mendapat keputusan yang positif untuk ujian antibodi kerana badan kita telah membina antibodi melawan Covid.
Jadi, mendapat keputusan positif untuk RTK-Antibody bagus kepada bekas pesakit kerana ianya memberitahu bahawa kami pernah dijangkiti dan sembuh. Kementerian Kesihatan Malaysia juga sentiasa mendapat maklumat terkini tentang perkembangan terbaru mengenai wabak Covid-19.
Saya bernasib baik kerana doktor-doktor memberikan perhatian kepada kes saya, termasuklah doktor di KK Shah Alam yang memberikan informasi kepada saya secukupnya. Bakal bos saya juga mendapat maklumat yang cukup tentang perkara ini.
Apa yang diperkatakan oleh Dr Hisham dalam sidang media sangat bagus kerana ia dapat disampaikan kepada lebih ramai orang. Jadi kepada bekas pesakit Covid yang telah sembuh, lebih baik tidak lagi membuat ujian jika tidak perlu, kerana nanti anda akan rasa panik. Kecualilah jika anda ada simptom atau ada kontak rapat dengan mereka yang positif.
Baca penerangan KKM. Klik di sini.
Terima kasih Dr Hisham dan pasukan kerana mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perkara ini. Terima kasih juga kepada semua di PKD Petaling dan KK Shah Alam atas segala usaha dan bantuan. Saya berharap sangat agar bakal tempat kerja baru serta orang di sekeliling saya akan berasa tenang. Sedih tau menjadi sebab jika mereka mungkin dijangkiti disebabkan saya. Memang mimpi ngeri.
Saya lebih berhati-hati ketika di luar tetapi bersama keluarga dan kawan-kawan mestilah tak. Saya perlu belajar untuk meneruskan hidup dengan lebihan-lebihan Covid di dalam diri saya sehingga tidak tahu bila ianya akan hilang sepenuhnya, tetapi saya juga bukan pembawa yang boleh menjangkiti orang lain.
Kredit Gambar: Instagram @naqiah.jalaludin
Kisah ini merupakan bahagian kedua yang dikongsi oleh pengguna Twitter Naqiah Jalaludin menggunakan akaun Twitter @naqiahJ dan mendapat hampir 22,000 Retweet. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live