Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personal Experience | Pengalaman Sendiri

#GempakSpot: "Abah Tahu Dia Nak Pergi" - Perkongsian Cerita Dan Rasa Nurul Amani Tentang Arwah Ayahnya

Gempak Spot 16/01/2020 | 08:59 MYT
Anak kedua kepada Allahyarham Abd Ghani Haron, Nurul Amani berkongsi cerita tentang pemergian arwah ayahnya di Facebook Page milik ayahnya, Abd Ghani Haron.
Memandu pulang di jambatan pulau pinang meredah kesesakan trafik, telefon abah berbunyi.
"Assalamualaikum cikgu ghani."
"Waalaikumsalam."
"Ni isteri cikgu ka? Cikgu sihat?"
"Saya Amani, anak cikgu ghani."
"Saya A dari Sik, Dia pernah mai rumah saya awai tahun ni hantar bantuan. Saya dok teringat kat cikgu, saja telefon nak tanya habaq."
"Abah dah meninggal 3 minggu lepas...."
ayat seterusnya tersekat di kerongkong, air mata dah bertakung.
Dia diam. Kemudian dengar esak tangis di hujung talian.
Dan air mata itu tumpah lagi. Tidak mampu ditahan lagi.
Sesungguhnya dua bulan ini, jambatan dan laut ini menjadi saksi segala gundah, resah, sedih dan rindu pada cinta hati yang satu ini.
ABAH TAHU DIA NAK 'PERGI'
Tiga hari sebelum abah pergi, mak menelefon semasa dalam mesyuarat.
"Hang boleh balik dak la ni? Abah panggil semua anak balik, dia nak jumpa hangpa semua."
Permintaan ini kali terakhir didengari semasa arwah Taqiyuddin nazak
Sampai di hospital, hampir semua adik sudah ada. Dari jauh abah nampak keletihan.
"Abah nak peluk hang, abah minta maaf."
Aku peluk abah. Lama. Cuba dengar apa yang abah pesan dalam esak tangis, dalam hati masih menidakkan kemungkinan yang akan berlaku.
Sabtu petang, masih ramai saudara dan sahabat yg melawat. Walaupun tampak keletihan, abah tetap berusaha untuk bercakap, kerap kali memberitahu dia dah nak 'pergi'.
Solat asar abah diimam oleh Jamil. Usai solat abah baca doa, panjang dan jelas tidak seperti beberapa hari sebelumnya. Abah seperti tahu ini asar terakhirnya
Pagi ahad, mendapat panggilan dari pakar nephro abah dan dimaklumkan catheter dialysis abah perlu dikeluarkan disebabkan kuman yang merebak dan tekanan darah yang tidak stabil.
Sampai di hospital, abah memanggil sebelum prosedur. Mata sempat melirik pada tekanan darah yang masih tidak stabil.
Abah sambil berbisik "doktor ramai-ramai ni Muslim ka? Abah nampak dia baca doa ramai-ramai"
Memandang ke belakang, tiada sesiapa di situ, hanya trolley prosedur yang ada.
"Abah, jom baca doa Nabi Yunus."
لا إله الا انت سبحانك اني كنت من الظالمين
رب يسر ولا تعسر رب تمم بالخير"
Abah mengangguk dan mengikut dengan lancar.
Usai prosedur, abah meminta telefonnya.
"tolong pesan beras 1500 kampit untuk abah sedekah esok."
Pembekal sedia ada tidak mampu untuk mendapatkan stok beras yang banyak dalam masa yang singkat.
"panggil pembekal lain, kalau abah mati hari ni, hangpa sedekah beras tu sebelum hantar abah pi kubur."
Kemudian abah memandang ke satu sudut dan memberikan satu senyuman yang sangat manis sekali dan abah terus tidur dan tidak bercakap lagi sehingga dalam ambulan.
Amanat terakhir abah telah menjadi amanat yang pertama yang perlu diselesaikan.
Abah,
Terima kasih atas segala tarbiah hidup ini sejak dilahirkan
Terima kasih kerana mengajar amanah itu wajib dijaga
Terima kasih kerana mengajar untuk kreatif
dalam hal kebajikan
Terima kasih kerana mengajar melawan arus bukanlah keburukan semata
Terima kasih kerana membuka mata untuk melihat peluang ke syurga ada di mana-mana
Hilanglah sudah satu pintu syurga ini
Hilanglah sudah ensiklopedia hidup ini
Tiada tujuan untuk meratapi tetapi untuk mengingati momen ini
Untuk memberi semangat di saat kesukaran nanti
Al Fatihah untuk arwah Abd Ghani bin Haron.
kredit: nurul amani ( anak kedua arwah cikgu ghani)
Kredit Gambar: Facebook Page Abd Ghani Haron
Kisah ini dikongsi Nurul Amani di Facebook Page Abd Ghani Haron. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
#GempakSpot #Abah
;