Bila saya melihat wang kertas RM50 di dalam balang tip, ianya mengingatkan saya kepada penumpang ketika saya membawa Grab satu ketika dulu. Selalunya, saya akan mendapat tip yang banyak daripada orang luar, terutamanya daripada warga Bangladesh.

3 tahun dulu ketika saya mula menjadi pemandu Grab, ada seseorang memberitahu saya supaya tidak mengambil mereka (warga Bangladesh) sebagai penumpang kerana bimbang bau badan mereka akan melekat di dalam kereta. Terutamanya selepas waktu bekerja.

Jam menunjukkan pukul 4:00 petang. Saya masih ingat ketika itu saya berada di kawasan Sunway dan mendapat 'ping' daripada penumpang. Tambangnya agak mahal. lebih RM40 kalau tidak silap dan saya menerima tugasan tersebut.

Bila saya tiba di tempat mengambil penumpang, saya lihat 3 orang warga Bangladesh sedang menunggu sambil melambai ke arah saya. Daripada uniform yang mereka pakai, saya agak mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Abang, boleh hantar kami ka?"

"Boleh-boleh," saya menjawap.

Mereka segera membuka pintu dan duduk di bahagian belakang. Ya, mereka baru habis menjalankan tugas mereka.

Dari mula mereka masuk ke dalam kereta, saya menahan nafas saya, tapi tidak lama. Jadi saya menukar mod penghawa dingin dari pusingan undara kepada mod udara luar. Ianya tidak membantu kerana angin luar agak panas.

Selepas itu saya tukar kembali dan membuka sedikit tingkap agar udara luar dapat masuk. Ada ketikanya bila lampu trafik bertukar merah, saya akan buka tingkap sehabisnya untuk mendapatkan angin luar.

Selalunya saya akan berbual dengan penumpang sepanjang perjalanan tetapi kali ini saya tidak berbuat demikian kerana 'terganggu'. Dua orang daripada mereka tidur manakala seorang yang duduk di tengah antara mereka memandang kepada saya beberapa kali.

Dia tahu ada yang tidak kena apabila dia memandang saya. Ada masanya saya menutup hidung dengan baju saya, sering kali membuka tingkap dan menukar mod penghawa dingin kereta. Bila saya memandang dia melalui cermin, dia cepat-cepat menukar pandangannya ke arah lain.

Saya rasa dia tahu saya tidak selesa dengan mereka.

"Boss okay ke?" tanya beliau.

"Ya, saya okay," jawap saya.

Pada saya, sangat kurang sopan (rude) untuk bercakap tentang bau badan sesiapa sahaja, walaupun mereka hanyalah mendatang asing kerana mereka juga manusia.

"Kami panggil 3 Grab sebelum abang. Semua cancel booking apabila nampak kami."

"Kadang driver malas nak drive jauh-jauh," saya cuba menukar apa yang dia katakan kepada perkara yang positif.

Saya tahu pada ketika itu kebanyakan pemandu Grab agak memilih penumpang. Sebenarnya saya agak tidak faham dengan perkara ini kerana sebabnya agak tidak munasabah.

Kami tiba ke lokasi untuk menurunkan mereka, dan lelaki yang duduk di tengah menghulurkan duit sekeping RM100. Apabila saya ingin memulangkan baki, dia menolak.

"Tapa bang tapa. Bagi anak-anak makan. Terima kasih kerana sudi hantar kami ni"

Ikhlas hati, saya terkejut dengan pelakuannya. Adalah perkara biasa untuk menerima tip sebanyak seringgit atau dua ringgit tetapi RM50 adalah terlalu banyak. Saya tetap ingin memulangkan bakinya.

"Tak apa bang. Abang simpan. Saiya tahu abang tak selesa sama kami tadi."

"It's okay, It's okay. It's my job."

"Ambik saja. Abang sudi hantar kami. Bukan hari ini saja saya selalu kena cancel. Banyak hari juga bang."

Ada ketikanya, mereka ini mengajar saya banyak perkara tentang kehidupan. Biarpun mereka pendatang asing, tetapi mereka tetap manusia seperti kita. mereka ada perasaan, ada rasa, dan ada fikiran. Sesuatu yang kita perlu buat adalah menghormati semua orang.

Sehingga kini saya tidak faham kenapa ada sesetengah pemandu masih memilih penumpang berdasarkan luaran mereka. Kalau ini adalah kerja anda, buatlah kerja anda sebaiknya.

Semua manusia adalah sama.

Kredit Gambar: Facebook Fadhli Sahar

Perkongsian ini dikongsi oleh pengguna Facebook Fadhli Sahar dan mendapat lebih 3000 shares. Penulisan beliau hampir sepenuhnya di dalam Bahasa Inggeris dan kami terjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia untuk memudahkan pembaca.

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]