Education | Pendidikan

#GempakSpot: Bersyukurlah Kerana Kerbau Ayah Dicuri!

gempak
Gempak Spot
11/07/2019
04:31 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: Bersyukurlah Kerana Kerbau Ayah Dicuri!

Bila dapat sesuatu yang diingini, maka manusia pun melafaz syukur. Bila ditimpa sesuatu yang tak disukai, manusia bersedih, bertanya dalam diri kenapa ini terjadi, doa bertali arus nak menghilangkan segera kesedihan.

Hakikatnya dalam semua keadaan yang berlaku kepada kita, kena bersyukur. Ini disebabkan kita tak tahu seluruh perancangan Allah, mungkin ia bermula dengan kesedihan tetapi dari situ akan datang kegembiraan kelak. Perhatikan beberapa peristiwa yang saya lalui.

Seorang bapa bersedih, keluh kesah, marah-marah dan menghamun anak yang tak pandai seperti saudara yang lain yang jadi jurutera belaka tetapi dia sekadar lulus SPM cukup makan. Anak itu menjadi peon di sebuah sekolah, sedangkan abang semuanya jurutera di swasta.

Bila si bapa akhirnya rosak buah pinggang dan perlu dailisis dengan kos sebulan RM2,650 dan setahun RM32,000, anak yang jadi peon inilah yang membantu mengguna khidmat GL kerana dia pegawai kerajaan walaupun peon sahaja dan ibu bapa dibiayai rawatan oleh kerajaan.

Anak yang jurutera, angkat tangan, tak mampu dan anak yang peonlah yang berulang membawa bapa untuk rawatan dan membela bapanya. Jadi, jika kita ada anak yang tak cerdik belajar pun, bersyukurlah kerana kita tak tahu perancangan Allah.

Semasa sihat dan muda dulu, nak qatam Quran setahun sekali pun payah. Bila penglihatan saya mula hilang disebabkan kencing manis, baru teringat nak baca Quran, takut tak boleh baca lagi. Sedih tapi berusaha. Berubat dan bernazar untuk qatam Quran setiap bulan jika penglihatan dikembalikan.

Alhamdulillah, penglihatan saya kembali normal, tetapi ditimpa pula kegagalan buah pinggang (kidney failure). Sedih lagi. Tapi empat jam di mesin dailisis membolehkan saya mengqatam Quran lebih kerap, menambah ilmu dengan bacaan di internet dan menulis dalam page dengan rakan yang lebih ramai dari masa muda.

Subhanallah. Jika kita ditimpa penyakit, bersyukurlah kerana kita tidak tahu perancangan Allah.

Masa saya kecil dulu, ayah menanggung hidup kami dengan kerbau untuk bajak bendang sekangkang kera dan ambil upah menenggala dan menyisir bendang orang. Suatu hari kerbau ayah dicuri. Ayah cukup sedih tapi bersabar, kerana seolah hilang tangan kanan.

Disebabkan itu, tok imam Hj Abd Halim yang bertukang rumah,telah ambil ayah bantu kerja bertukang .Ayah mengalih profesyen kepada bertukang. Akhirnya ayah jadi tukang rumah yang mahir dan rezeki hidup kami lebih baik hingga dapat menyara saya ke UM. Allahu Akbar.

Walau kita kehilangan sesuatu, bersyukurlah kerana kita tidak tahu perancangan Allah. Kerana ditakdirkan kerbau ayah dicuri, hidup kami berubah, rezeki bertambah. Bersukurlah.

Terbukti, apa pun yang terjadi, bersukurlah kerana kita tidak tahu perancangan Allah.

Nota: Gambar adalah sekadar hiasan.

Kredit Gambar: poskotak.blogspot.com

Abd Ghani Haron merupakan pesara pegawai pelajaran daerah dan pengetua. Beliau merupakan penulis bebas dan penggerak kerja kebajikan untuk masyarakat. Kisah ini dikongsi di Page Facebook beliau, Abd Ghani Haron. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.


Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live