Baca perkongsian Akhi Fairuz Al-Jengkawi makna kemerdekaan untuk dirinya melalui akaun Twitternya @akhifairuz_ tentang mendidik anak-anak dari kecil lagi tentang kasih sayang, kemesraan, perpaduan, tolak ansur, tolong menolong dan rasa cinta sesama kita tanpa mengira keturunan.

Ini kisah Hari Kemerdekaan saya.

6 tahun lepas, saya dan isteri menyertai satu konvensyen di PICC Putrajaya.

Al-Fatih baru 9 bulan masa tu. Kami bergilir jaga Al-Fatih. Lama-lama dalam dewan bukan budak tu boleh tahan. Merangkak ke sana sini, aktif kemain.

Jadi, saya pun bawalah Al-Fatih menyusu ibunya. Selepas kenyang, isteri saya meneruskan fokus dalam konvensyen berkenaan.

Saya pula bawa Al-Fatih keluar dewan dan terus setia melayan si kecil ini.

Selang beberapa minit kemudian, kelihatan satu keluarga cina membawa anak-anak mereka berjalan menikmati pemandangan indah Putrajaya melalui tingkap kaca PICC.

Anak-anak cina itu pun berlarilah ke sana sini. Anak saya si Al-Fatih pun join sekali. Merangkaklah dia laju-laju mendapatkan kawan-kawan baru. Seronok agaknya.

Lalu, kanak-kanak berkenaan menyapa Al-Fatih. Yang paling muda lebih kurang umur 1 tahun. Masih bertatih-tatih berjalan.

Kemudian, budak itu merapati Al-Fatih sambil si kakak meminta adiknya yang paling kecil untuk bersalam. Salam dari si kecil itu dibalas oleh anak saya dengan tamparan padu di muka budak berkenaan. Itulah cara Al-Fatih berkenalan dan bermesra, saat itu.

Seronoknya adalah mereka bercakap bahasa mereka dan Al-Fatih pula seolah-olah faham. Ketika mereka ralit bermain dengan anakku, mak budak-budak berkenaan siap rakam video dan tangkap gambar.

Saya tersenyum.

Sedar tak sedar, dah pukul 5.15 petang. Dah masuk waktu asar. Saya bagi tahu pada budak-budak berkenaan untuk tolong tengok Al-Fatih sekejap, saya nak solat. Kemudian saya terus ke tandas mengambil wuduk.

Habis solat, saya pun ambil ruang untuk berkenalan dengan mereka. Keluarga ini berasal Shah Alam. Mereka bersekolah di sekolah jenis kebangsaan di Klang.

Kemudian, saya minta izin untuk tangkap gambar mereka bersama dgn Al-Fatih. Mereka ok sahaja.



Hampir 30 minit jugalah mereka lepak di situ. Tak lama kemudian, mak ayah mereka pun ajak balik. Masa nak berpisah, mereka salam Al-Fatih, dipeluk berkali-kali sebelum berlalu pergi. Nampak agak berat nak berpisah. Anakku melambai mereka. Mereka pula membalas lambaian Al-Fatih.



Bila difikir balik, indah sungguh pertemuan ini. Tiada prejudis. Tidak ada skeptikal antara kaum. Tidak timbul isu rasis.

Anak saya dan anak-anak Cina ini bermain bersama dengan penuh kemesraan. Itulah dia fitrah kanak-kanak. Hati mereka bersih. Allah beri potensi yang sama kepada manusia.

Kasih sayang. Kemesraan. Perpaduan. Tolak ansur. Tolong menolong. Cinta.

Sebab itu percampuran antara kaum di Malaysia wajib bermula dari zaman kanak-kanak lagi. Mereka masih suci dan belum ada skeptikal antara bangsa.

Nak teruskan sekolah jenis kebangsaan? Bagi saya teruskan sahaja. Namun, biarlah ia untuk sesi petang sahaja.

Waktu pagi biarkan anak-anak ini bersekolah di sekolah kebangsaan. Ajar mereka bercampur. Petang pula ikutlah mak ayah nak hantar anak ke KAFA ke, SJKC ke, SJKT ke, Tahfiz ke dan lain-lain.

Ini bila dah sekolah menengah baru nak bercampur. Memang susahlah! Ada pula tu masuk PLKN baru berkomunikasi dengan bangsa lain.

Macam mana nak hapuskan prejudis antara kaum jika tak atasi masalah ini dari awal? Sudah-sudahlah menjadi jargon politik dalam isu ini. Akhirnya, pi mai pi mai tang tu jugak.

Semoga ada sinar baru yang akan muncul. Generasi ini dan akan datang harus lebih saling kenal mengenali. Lebih cinta antara satu sama lain. Saling bekerjasama. Saling tolong menolong. Saling memacu kemajuan negara.

Kerana apa?

Kerana MALAYSIA PRIHATIN!

Selamat Hari Kemerdekaan ke 63, Malaysia!

Kredit Gambar: Twitter @akhifairuz_

Perkongsian ini dikongsi oleh Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang menggunakan akaun Twitter @akhifairuz_ dan mendapat lebih 200 Retweet dan lebih 600 Likes. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyertai peraduan GempakSpot X Althea, hantarkan karya anda sekarang sebelum tarikh tutup peraduan pada 25 Oktober 2020 ke GempakSpot