Hotel ni anda boleh jumpa kat Taiping dan antara hotel berhantu kat Taiping. Hotel ni sebelah penjara Taiping. Dengar cerita, hantu kat sini suka pindah-pindahkan tetamu hotel.

Jadi kita mulakan dengan sejarah hotel ni dulu ya. Asalnya hotel ini sebenarnya tempat pegawai-pegawai British gunakan untuk berehat tapi waktu itu namanya bukan Casuarina Inn lah. Sampai lah kerajaan Perak ambil alih pada 12 september 1972.



Oh ya, hotel ni pun pernah jadi kem tentera British sekejap sebelum kerajaan negeri ambil alih. Hotel ni dulu memang cantik lah. Sebab dibina ala-ala reka bentuk kolonial british. Hotel ni ada 24 bilik standard dan 2 bilik family. Lepas tu banyak lagi kemudahan hotel ni.

Jadi sebelum masuk kisah menyeramkan, aku nak ingat kan cerita ini disampaikan dari mulut ke mulut jadi aku tak tahu kesahihannya ya. Nak baca boleh, tapi nak percaya tu ikut diri sendiri lah.

Cerita menyeramkan ini cuma berdasarkan cerita-cerita orang yang tetamu yang menginap kat hotel tu selalu kena ganggu. Lepas tu hantu kat situ ada satu perangai yang suka pindah-pindahkan orang. Tetamu tidur kat bilik sendiri, bila bangun di luar bilik. Lebih kurang begitulah.

Kawan kepada Mak aku ni dia macam suka dengan aktiviti paranormal ni. Lepas tu dia pergi tidur kat sana tapi waktu tu hotel tu dah tak beroperasi lah. Lupa nak bagitahu yang hotel ni tutup sekitar tahun 2010 sebab tak dapat tampung kos pengurusan hotel.



Kawan Mak aku ni memang steady. Dia pergi sana lepas tu pilih bilik yang elok sikit untuk dia tidur malam tu. Jadi malam tu dia cuba lah explore sikit tempat tu. Tapi takda lah jauh-jauh sangat. Lepas tu dia berhenti dan kemudiannya mula bac a Surah Al-Quran untuk isi masa lapang yang ada.

Mula-mula baca tu okay lagi. Lepas tu dia nampak macam ada bayangan lalu di hadapan dia tapi dia tak pandang. Dia pandang pada Al-Quran saja sebab dia tengah membaca masa tu. Tiba-tiba dia dengar seperti ada benda kena tarik di tingkat atas. Jadi dia dah dapat agak sesi gangguan akan bermula sekejap lagi.

Tetapi dia tetap teruskan membaca Al-Quran, sampailah dia rasa seperti ada sesuatu yang memgang bahu dia menyebabkan dia terkejut. Bila dia bangun, dia nampak bayangan yang sama dan dia pun cuba ikut. Dia ikut sampai masuk satu bilik tetapi tak ada apa-apa pun di dalam bilik tersebut. Lepas tu dia pun nak balik semula ke bilik asal dia.

Peliknya dia tak jumpa dan dia perasan dia hanya berpusing-pusing di tempat yang sama sampailah dia penat. Dia duduk seketika dan kemudiannya rasa mengantuk dan tertidur. Esoknya bila dia tersedar, dia ada di luar hotel dengan barang-barang kepunyaannya dicampakkan keluar.



Cerita seterusnya ini baru jugak diceritakan oleh Pakcik aku. Yalah kan, orang tua bercerita, kita pun join sama dengar. Menurut Pakcik aku, hotel tu ditutup sebab tak ada orang nak kerja di situ, ditambah pula dengan tetamu hotel yang tak berapa nak ada. Dulu kawan Pakcik aku kerja sebagai receptionist kat situ.

Kena ganggu perkara biasa. Setakat loceng front kaunter berbunyi sendiri tu dah biasa. Yang menyebabkan kawan Pakcik aku ni berhenti sebab dia jumpa tetamu hotel yang sebenarnya hantu. Waktu tu hujan ( biasa lah cerita hantu mesti hujan) dia tengok ada satu keluarga ni nak check in.

Dia pun layanlah seperti biasa. Dah habis check in, serahkan kunci bilik dan nak bawa mereka untuk tunjukkan bilik, dia perasan keluarga tersebut macam pelik sikit. Tapi dia biarkan sahaja sebab tetamu hotel. Tidak lama lepas keluarga tersebut masuk bilik, mereka kemudiannya buat panggilan untuk room service.

Mereka order makanan dalam kuantiti yang banyak tapi sebab satu keluarga, mungkin perkara biasa. Waiter yang hantar makanan tu pergi ke bilik tapi mereka suruh tinggalkan makanan di luar sahaja. Esoknya, waiter tu ambil pinggan kat luar juga.

Kalau ikutkan, keluarga tersebut kata menginap untuk dua hari sahaja tapi dah masuk hari ketiga tak check out lagi. Jadi kawan Pakcik aku ni pergi lah check kot-kot lupa nak check out atau nak sambung menginap lagi ke. Bila pergi dan ketuk pintu, tak ada orang menyahut. Bilik berkunci tetapi kipas/aircond (tak pasti yang mana satu) masih lagi berbunyi seperti terpasang.

Dia pun ambillah kunci spare. Bila buka pintu tak ada sesiapa pun. Bilik kosong macam tak ada orang tinggal tapi kipas / aircond masih terpasang. Kunci bilik pula ada terletak elok di rak. Dia pun rasa cuak. Takkan tetamu hotel lari, jadi dia check senarai nama tetamu, tetapi memang bilik itu kosong dan tiada tetamu.

Takda data pun pasal tetamu tu. Tapi dia memang pasti yang dia bagi tetamuj satu keluarga tu bilik tersebut. Dia pun check dengan bahagian kitchen betul tak ada orang order room service dan mereka confirm kan memang ada. Jadi pandai-pandai fikir sendiri ya.



So sebelum mengakhiri cerita ini, hotel ini sebelah dengan penjara Taiping tau. Bekas pekerja-pekerja hotal tu selalu cerita yang kalau ada orang kena gantung, boleh dengar jeritan mereka sampai ke hotel tu.

Sesiapa yang jiwanya kental, boleh lah try naik ke hotel Casuarina Inn. Kalau anda pusing taman tasik tu, anda akan jumpalah signboard ke Casuarina Inn. Tapi sebarang gangguan bukan salah aku ya. Aku pun goyang jugak nak pergi naik hotel ni. So sekian cerita aku.

Kredit Gambar: Twitter @the_khayalans

Kisah ini dikongsi oleh pengguna Twitter menggunakan akaun Twitter @the_khayalans. Perkongsian beliau mendapat hampir 17,000 Retweet.Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]