#GempakSpot: “Ibu Bapa, Jangan Salahkan Cikgu Lagi. Mainkan Peranan Anda!”
"Hello, Doktor Nim, kami baru buat serbuan semalam. Nanti kami akan hantar mereka ke klinik untuk pemeriksaan".
"Okay, Jumpa nanti ye,” jawab saya kepada Pegawai AADK tersebut.
Selepas 1 jam, ada ketuk di pintu bilik konsultasi saya.
Di depan saya seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40an dengan dua remaja lelaki yang berumur antara 13 -14 tahun.
"Hi, Doktor. Ini lah budak budak yang kami tangkap semalam. Kencing positif morfin dan syabu".
Saya panggil salah seorang remaja tersebut untuk duduk di kerusi di sebelah saya, sementara seorang lagi tunggu di luar.
Adik, dah berapa lama ambil dadah ni?
"5-6 tahun, Doktor" .
Terkejut saya mendengar jawapan dia.
Maksudnya dia sudah mula mengambil dadah pada umur 7 tahun? Semasa saya berumur 7 tahun, saya hanya pandai bermain A-E-I-O-U dengan kawan-kawan saya. Saya belajar tentang dadah pun selepas menjadi doktor, masa saya buat posting dalam psikiatrik.
"Macam mana awak boleh dapat barang macam itu? Kawan Kasi?"
“Takde Doktor. Curi-curi ambil dari ayah saya. Dia tak kisah pun.”
"Chase atau Suntik?"
"Chase, Doktor"
Tapi saya tahu dia menipu. Sebab ada kesan suntikan pada bahagian tangan dia.
Kes sedemikian merupakan salah satu kes yang saya melihat setiap minggu. Remaja kita semakin terlibat dengan perbuatan yang menjijikkan.
Budak berumur 7 tahun sudah mula merokok.
Budak berumur 8 tahun merogol budak lain yang sebaya dengannya sebab dia ternampak video lucah dalam handphone ibu bapanya dan "ingin mencuba".
Budak lelaki berumur 13 tahun didiagnos dengan penyakit HIV kerana melakukan hubungan seks tanpa perlindungan dengan rakan-rakan dia.
Budak remaja perempuan dijadikan "ganjaran" oleh mat-mat rempit sampai budak tersebut mengandung tetapi tidak tahu siapa bapa kandungannya.
Jangan Salahkan Cikgu Lagi!
Ibu Bapa, Mainkan peranan anda! Kerana pendidikan awal bermula dari rumah.
Perlukah anak anda memiliki Gajet canggih sehingga mereka bebas meneroka dan melihat video video lucah dalam internet?
Handphone biasa tanpa internet sudah mencukupi.
Kalau nak pun, letaklah aplikasi parental control seperti Funamo parental control app.
Sentiasa pantau aktiviti anak-anak dan dengan siapa mereka bergaul.
Biarlah orang nak kutuk kita ini mengongkong hidup mereka, asalkan anak-anak ini tidak terlibat dalam aktiviti yang tidak berfaedah atau bergaul dengan orang yang salah.
Percayalah, orang orang tersebut akan mengutuk anda juga sekiranya anak anda terjebak dalam lembah maksiat.
Pendidikan seks wajib diajar juga. Supaya mereka tidak akan terlibat dengan seks tanpa perlindungan.
Gejala sosial ini mempunyai impak yang tinggi bukan kepada individu atau komuniti sahaja, malah masyarakat dan negara.
"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…" (Surah Al-Baqarah : 195)
Dr Nimelesh,
Seorang doktor yang risau
Kredit Gambar: Dr. Nimelesh - Twitter @HausofHilton
Perkongsian ini dikongsi oleh pengguna akaun Twitter @HausofHilton yang juga merupakan seorang doktor dan mendapat lebih 2 ribu Retweet. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]