Ahad lalu pergi satu kenduri kahwin dah agak lewat petang. Saya cuma minum sahaja. Saya lihat tray buffet kekurangan lauk. Ketika minum di meja, seorang yang mengambil makanan datang duduk sekali dengan saya.

"Tak makan ka?" Dia menegur.

Tidak, saya masih kenyang,” balas saya.

"Tak ada lauk dah. Buat kenduri jemput orang ramai, lauk tak cukup. Malu pada orang, tinggal kuah saja.." dia merungut.

Saya menjawab, "Saya rasa kita kena ingat, rezeki itu ditangan Allah. Allah yang menentukan apa yang kita dapat makan. Jika kita datang rumah kenduri, tak dapat makan, maka tiada rezekilah tu. Tuan rumah telah berusaha nak sediakan bagi cukup, mana ada tuan kenduri merancang untuk tak cukup.

“Tetapi Allah menentukan sebahagian orang tak dapat makan, maka tak cukuplah. Jadi bersyukurlah dengan apa yang ada meskipun sekadar kuah dan nasi. Bukan makan itu matlamat hadir kenduri, tetapi memenuhi jemputan dan menjalin ukhwah itu yang lebih utama".

Dia terdiam, merah padam mukanya.

Saya nak mengajak semua pembaca menyedari hakikat rezeki ditangan Tuhan. Jika pergi kenduri, apa yang tersedia itu rezeki kita, sedap ke tidak, berkenan ke tidak, tinggal kuah dan nasi saja ke, itulah rezeki kita.

Jangan sesekali bersungut kerana jika kita bersungut , kita sebenarnya merungut takdir Tuhan. Tidak ada tuan kenduri yang mahu jamuannya tidak cukup, mereka tentu telah berusaha untuk mencukupkan, bahkan cukup atau tidak, terletak kepada ketentuan Allah.

Jika anda singgah di R&R dan dapati lauk habis, jangan bersungut kata pekedai tak pandai berniaga. Apa yang ada itulah rezeki kita. Jika balik rumah, di bawah tudung saji hanya ada nasi dan ikan tamban kering dengan sambal belacan, makanlah, hanya itu rezeki kita.

Jangan diherdik isteri yang memasak. Jika tiada rezeki, lauk dimasak jadi hangit, periuk terbalik, ikan dilarikan kucing dan serba macam sebab Tuhan akan jadikan.

Berlapang dadalah sebelum menuding tangan menyalahkan orang lain kerana TAKUT KITA TERSALAHKAN TUHAN.

Jika nak makan sedap, nak makan banyak, berusahalah sendiri. Jika hanya nak datang mencedok ke dalam pinggan, bersyukurlah dengan apa yang ada.

Bukankah ini lebih baik, anda pulang dari jamuan dengan rasa lega dan redha, moga Tuhan juga meredhai. Nabi menegah perbuatan mengeji makanan, makan apa yang kita suka, tinggalkan yang tidak suka.

Apa yang tidak dapat disuap ke mulut kita itu adalah bukan rezeki kita. Kalau tak elok pada mata kita, tak sedap pada lidah kita, tinggalkan dan jangan merungut, kerana anda mungkin merungut pada rezeki yang Allah beri.

Kredit cerita di atas: Ustaz Abd Ghani Haron

Kredit Gambar: Twitter @brotherjambang

Kisah ini dikongsi oleh pengguna Twitter menggunakan akaun Twitter @brotherjambang. Perkongsian beliau mendapat lebih 12,000 Retweet.Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]