#GempakSpot: Kebahagiaan Bukan Pada Kalimah Yang-Yang, Ling-Ling
Ketika memandu sendirian nak ke Sungai Petani, panas terik, disatu kawasan berhutan, saya ternampak seorang perempuan mendukung bayi kecil berjalan mengiringi seorang lelaki separuh umur yang menolak motosikal yang lusuh dimakan usia.
Saya memperlahan kenderaan dan berhenti di hadapan mereka lalu keluar dan bertanya sebab, tayar motor pancit. Mereka berhenti sebentar berbual dengan saya.
Kesian melihat anak kecil dalam dokongan yang kemerahan kulit mukanya kepanasan, manakala si bapa bermandi peluh. Saya kembali ke kereta mengambil baki air mineral yang belum habis diminum yang ada dalam kereta saya lalu menghulur kepada suaminya.
Dia menerima tanpa banyak soal, meneguknya lalu dihulur kepada isteri yang berkali-kali mengesat peluh dengan kain tudung yang dipakai. Kedai motor jauh lagi, mungkin 4 km lagi.
Saya mempelawa isteri dan anaknya naik kereta saya dengan janji saya akan turunkan di kedai motor nanti. Suaminya mengiayakan, si isteri teragak untuk bersetuju. Dia mengikut saya sambil mendokong anak.
Bila tiba di kereta agak jauh dari suaminya, dia berkata, "Tuan haji,saya rasa saya tak sanggup tinggalkan suami saya seorang menolak motor. Biarlah saya temani dia, biar susah senang kami harung bersama. Saya bimbang terjadi apa-apa kepadanya jika dia seorang diri. Terima kasihlah kerana sudi menolong kami."
Air matanya cepat tergenang tetapi segera dia beralih melihat suaminya yang terbongkok menolak motor. Saya menjadi serba salah, tetapi kagum dengan sifat isterinya. Alasan yang diberikannya membuatkan saya tidak tergamak untuk terus mengajak.
Sebelum meninggalkan mereka, saya memberi payung yang ada dalam kereta untuk isteri dan anak kecilnya meredah panas terik.
Tiga insan itu saya tinggalkan dengan rafak doa moga Allah memberi keselamatan dan kesabaran kepada mereka. Lihatlah betapa kebahagiaan bukan terletak pada harta dan kemewahan tetapi terletak pada hati nurani yang saling mengasihi dan berkorban untuk mereka yang tersayang.
Kebahagiaan bukan terletak pada bibir beryang-yang, ling-ling (sayang dan darling) yang menjadi kebiasaan kini, yang bercampur kepuraan, manis pada bibir, kebahagiaan bukan mesti datang dengan pakej mewah seperti cerita dalam drama, kebahagiaan bukan seperti filem hindustan yang bernyanyi berlari naik bukit turun lembah.
Kebahagiaan bukan mesti datang bersama kemewahan, tetapi hakikatnya kebahagiaan lebih terasa real nya bila dalam kepayahan boleh bersama dengan penuh sabar.
Di sinilah kita melihat kebesaran Allah, betapa kebahagiaan itu diperolehi oleh siapa sahaja, tidak kira miskin kaya, ia satu anugerah, ia terletak pada hati.
Saya membayangkan bagaimana teruknya menolak motor lebih 4 kilometer. Bagaimana rasa nak patah pinggang mendokong anak sejauh 4 kilometer lebih di bawah panas terik. Tiada bekalan air. Tapi masih boleh bersabar.
Saya tidak pernah diuji setahap ini. Bandingkanlah dengan diri kita, dengan kemewahan yang ada pada kita dan tahap ujian Allah kepada kita berbanding mereka.
Lagi tinggi iman seseorang, lagi tinggi ujian dari Allah. Usah merasa kita bahagia kerana tiada masalah, tapi hakikatnya kita tidak diuji.
Dalam hadith diriwayatkan, Nabi Saw bersabda: "Sesungguhnya Allah jika mencintai suatu kaum, maka DIA akan mendatangkan ujian kepada mereka. Dan barangsiapa rela dengan ujian itu, maka dia akan memperoleh kerelaan-NYA. Dan barangsiapa membencinya maka dia akan memperoleh kebencian-NYA" (HR. Tirmizi, dan Ibnu Majah,)
Siapalah kita untuk mengatakan aku telah beriman, tetapi ujian Allah tidak setahap mana, tidak segigih mana untuk dihadapi. Maka berhati-hatilah jika kita langsung tidak diuji Allah dalam hidup, kita mungkin dilalaikan, kerana kebahgiaan di dunia ini akan berakhir juga dg kematian. Wallahu a'lam.
Jom sertai projek sedekah jariah bersama rakan fb saya. Bank in 557410515106 maybank abd ghani haron. Insyaallah kita akan berkongsi ibadat sedekah setiap hari.
Nota: Gambar adalah sekadar hiasan.
Kredit Gambar: memurlar.net
Abd Ghani Haron merupakan pesara pegawai pelajaran daerah dan pengetua. Beliau merupakan penulis bebas dan penggerak kerja kebajikan untuk masyarakat. Kisah ini dikongsi di Page Facebook beliau, Abd Ghani Haron. Beberapa perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]