Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personal Opinion | Pendapat Peribadi

#GempakSpot: "Masuk Saja Ke Ruang Tersebut, Saya Rasa Ada Sesuatu Yang Mengusap Belakang Saya" - Alami Sendiri Pengalaman Seram

Gempak Spot 06/11/2019 | 08:14 MYT
7:30 Petang
Saya tiba di lokasi bersama dua lagi rakan sekerja. Waktu kami sampai, kami tak nampak kereta kru yang lain, tak nampak macam nak buat penggambaran pun di kawasan tersebut. Gelap, usang dan banyak akar pokok yang menjalar dan memamah bangunan yang dahulunya digunakan sebagai sebuah kolej.
Terletak di tengah-tengah kota raya, sepatutnya taklah rasa seram kerana ditemani bunyi-bunyi kereta yang lalu, tapi bila kami turun sahaja dari kereta, perasaan menjadi pelik, dan macam nak balik pun ada.
Sebelum bermula, sesi doa telah dijalankan dengan harapan penggambaran malam itu akan berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada Encik Wan yang menjadi 'bodyguard' kami pada malam itu.
"Kalau ternampak sesuatu jangan panik, jangan tegur. Kalau ternampak benda yang menarik, jangan ambil, biarkan jer," sedikit pesanan dari Encik Wan kepada kami sebelum penggambaran dimulakan.
9:30 Malam
Sebelum Pak Me masuk berlakon, saya buat sound check terlebih dulu. Anggaran jarak antara saya dan Pak Me ialah 10 meter. Dia kat luar, sedang berteduh dari hujan renyai. Saya pula sudah masuk ke dalam kolej usang itu.
Saya kuatkan volume dan kedengaran bunyi doa-doa melalui telefon Pak Me, mungkin dia sedang buka video ayat-ayat Al-Quran dari youtube. Saya adjust volume, kali ini Pak Me sedang tengok video lain sebab kedengaran bunyi orang berdialog.
Sedang saya fokus, kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan dengan laju lalu di hadapan Pak Me. Untuk anda yang mungkin tidak berapa tahu tentang jaga audio ni, kalau kawasan cukup sunyi, bunyi degupan jantung pelakon pun kami boleh dengar.
Jadi saya toleh ke arah Pak Me, nak tau siapa yang lalu depan dia. Ternyata Pak Me hanya berseorangan. Siapa yang lalu tadi? Bunyi tapak kaki siapa yang berjalan laju di depan Pak Me?
Pengalaman kedua ialah bila kami nak shoot babak terakhir, kami pindah ke area yang lain tapi di kolej usang yang sama. Saya tak pasti kenapa saya tergesa-gesa nak ke set itu, mungkin kerana saya tak nampak kawan-kawan yang lain.
Bila saya buat sound check, saya sangka pelakon dah standby di lokasi, geram juga, mana dia pergi. Bertemankan dua orang rakan sekerja kami berjalan masuk ke kolej itu lagi. Kali ini lalu dari belakang, kawasan itu agak becak, ditumbuhi rumput lalang dan akar-akar kayu menjalar hingga di siling.
Tempat tu tampak penuh dengan barang-barang lama yang ditinggalkan, besar dan boleh sesat walaupun di kelilingi oleh cahaya dari bangunan-bangunan lain dan lampu jalan, tapi bila masuk sahaja, memang sangat gelap.
Saya takut dan saya berjalan sambil tunduk kepala serta saya genggam baju kawan di depan. Waktu nak lalu ada dua bilik yang boleh tembus ke set, bilik belah kanan nampak sangat kotor dan lantai dipenuhi barang-barang lama setinggi 6 inci.
Okay, jadi kami pilih untuk lalu di belah kiri tu, bila nak masuk saja, ada orang usap belakang saya. SERAM! Tapi nak buat macam mana, diamkan sahaja dan teruskan perjalanan yang terasa amat lama.
1:30 Pagi
Setibanya di lokasi, tidak ada pelakon pun di situ, rupanya mereka masih di khemah menunggu. Jadi kenapa tadi saya tak nampak mereka di situ? Waktu sudah masuk awal pagi, Art department masih menyiapkan lokasi. Audio tak bagus nak ambil kerana lokasi penuh dengan bunyi-bunyi bising, noise kuat sangat, bunyi kereta dan motor pun banyak kacau sound jadi direktor pilih untuk buat rakaman suara (Voice Over) di dalam kereta.
2:30 Pagi
It’s a wrap! Kami habis lebih kurang pukul 2:30 pagi. Kami nak teruskan buat VO, jadi kami pun bentuklah satu 'train' untuk keluar dari lokasi sebab gelap, dan nak pastikan semua keluar sama-sama. Saya berada di posisi ketiga dan di belakang ada lebih kurang dalam 5 orang lagi.
Kawan paling depan pun mendahului jalan keluar, tapi laju betul dia berjalan. Bila tiba di satu kawasan tu, kawan paling depan tiba-tiba berhenti dan kata ‘Eh mana yang lain?’. Saya berfikir, kan mereka ada je di belakang saya.
Saya menoleh ke belakang, ‘orang’ di belakang saya tu cepat-cepat berlari ke lorong kecil di sebelah kanan, ‘benda’ tu sempat lagi terlanggar playwood nipis yang ada di situ, badannya agak kurus, saiz remaja seperti pelajar kolej.
Saya berfikir pantas, "takkan mereka yang lain ambil jalan pintas sedangkan sudah berjanji untuk keluar sama-sama". Beberapa ketika kemudian, barulah kawan-kawan kerja yang lain muncul sambil merungut "cepat sangatlah korang jalan". Saya terdiam. Siapa yang selama ini berada di belakang mengekori saya?
Shooting di tempat tersebut memang dipenuhi dengan pengalaman seram buat kami semua. Ada yang kena libas oleh ‘sesuatu’, ada yang kena usap, tapi kami sangat bersyukur kerana Encik Wan ada bersama kami sepanjang waktu. Dia telah ‘pagar’ kawasan yang kami pakai untuk penggambaran.
Semoga cerita yang dikongsikan ini bermanfaat agar kita sentiasa ingat bahawa selain manusia, ada makhluk Tuhan lain yang menghuni bumi ini. Hormati ‘mereka’ dan semoga hidup kita turut tenteram.
Kredit Gambar: Grace Gordon
Kisah ini dikongsi oleh Grace Gordon, Produser Kandungan untuk Astro Gempak yang turut terlibat dalam penggambaran spin off filem Pusaka yang bertajuk Puaka baru-baru ini. Anda boleh menonton Puaka disemua platfrom media sosial Gempak iaitu di Youtube Gempak, Facebook Gempak dan juga di Instagram Gempak, bermula Khamis, 7 November 2019.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
#GempakSpot #Seram #Pengalaman
;