Education | Pendidikan

#GempakSpot: "Ramai Kurang Faham Konsep Merancang Keluarga. Ia Perlu Supaya Setiap Kehamilan Dihargai" - Dr. Eizat

gempak
Gempak Spot
07/11/2019
02:55 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: "Ramai Kurang Faham Konsep Merancang Keluarga. Ia Perlu Supaya Setiap Kehamilan Dihargai" - Dr. Eizat
Perkongsian Dr. Eizat di Twitter menggunakan akaun @muhammadeizat adalah untuk memberitahu kepada wanita di luar sana bahawa ada banyak cara untuk merancang keluarga. Ianya penting supaya setiap anak mendapat kasih sayang secukupnya daripada ibu dan ayah.
“Eh rasanya macam familiar lah puan ini. Kat mana saya jumpa puan ye?”
“6 bulan lepas, tuan doktor lah yang sambut kelahiran anak saya yang ke lima tu.”
Gulp...
“6 bulan lepas? Anak ke 5? MasyaAllah puan, kenapalah tak merancang dulu?
“Memang saya merancang doktor, tapi kalau suami dah ter ‘tembak’ dalam apa saya boleh buat”
(mukanya merah, tersipu-sipu malu)
“Saya rasa puan dah kurang faham konsep merancang keluarga ni, banyak lagi kaedah merancang keluarga lain yang lebih efektif dan terbukti keberkesannya.”
Perancangan keluarga perlu bagi setiap pasangan supaya setiap kehamilan itu dihargai. Perancangan keluarga perlu untuk menjarakkan anak, supaya ibu dapat pulih sepenuhnya. Sekiranya ada luka jahit sewaktu bersalin, luka dapat pulih dengan sempurna.
Ia juga dapat menggalakkan penyusuan susu ibu yang lebih lama dan menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk hamil lagi, bukannya hamil secara ‘tidak sengaja’.
Kebanyakan wanita keliru dengan kaedah untuk merancang keluarga. Sekiranya ujian air kencing menunjukkan positif hamil, sudah terlambat untuk melakukan kaedah perancangan keluarga.
Setiap keluarga berhak mempunyai bilangan anak yang mereka idamkan, tetapi jarak di antara satu anak dengan anak yang lain boleh dirancang dengan menggunakan kaedah-kaedah perancang keluarga.
Berikut, merupakan antara kaedah yang boleh digunakan. Sila pastikan anda memahami setiap kaedah dan risikonya sebelum membuat keputusan.
Anda boleh gunakan kaedah-kaedah pencegah kehamilan berikut ketika anda masih menyusukan bayi:
Kondom untuk lelaki atau wanita Pil mini Suntikan Implan Alat intrauterine (IUD)
Kondom
Kondom adalah kaedah yang paling mudah digunakan, sama ada anda masih menyusu badan ataupun tidak.
Kondom untuk wanita diletakkan di dalam faraj sebelum melakukan hubungan kelamin. Kondom untuk wanita mungkin tidak begitu selesa berbanding kondom untuk lelaki. Jika digunakan dengan betul, kondom untuk lelaki adalah 98 peratus berkesan dan kondom untuk wanita 95 peratus berkesan.
Anda mungkin dapati faraj anda sedikit kering selepas bersalin. Jika anda mahu bersama suami tetapi rasa kurang selesa kerana kekeringan, cuba gunakan jel pelincir. Jeli ini haruslah larut air (water-based) supaya ia tidak membocorkan kondom.
Pil mini (Mini pil)
Anda boleh guna pil mini jika anda masih menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu bekalan susu anda. Anda boleh mula mengambilnya 21 hari selepas bersalin. Pil mini juga dikenali sebagai pil progestin (progestogen-only pill – POP).
Ia mengandungi hormon progesterone sintetik . Pil mini adalah lebih daripada 99 peratus berkesan. Namun untuk ia memberi kesan seperti ini, anda perlu mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari.
Ini boleh jadi sukar jika anda sibuk menjaga bayi yang baru lahir. Mungkin tidak sesuai untuk wanita yang pelupa dan seumpama dengannya.
Suntikan
Suntikan berkesan selama beberapa minggu. Terdapat dua jenis suntikan:
1. Depo-Provera, yang berkesan selama 12 minggu 2. Norethisterone - yang berkesan selama 8 minggu
Jika anda aktif menyusu badan, sebahagian kecil progestogen akan dirembeskan ke dalam susu ibu. Walaubagaimanapun kuantiti yang sedikit ini tidak akan membahayakan bayi anda.
Adalah lebih baik untuk menunggu sehingga 6 minggu selepas bersalin sebelum mula mengambil suntikan. Ini bagi mengurangkan kemungkinan haid anda jadi tidak menentu dan darah keluar dengan banyak. Masalah pendarahan adalah salah satu keburukan kaedah ini.
Kaedah suntikan semakin popular kebelakangan ini kerana keberkesanannya yang tinggi (lebih daripada 99 peratus) dan mudah untuk didapati.
Tetapi jika anda mahu hamil lagi dengan segera selepas berhenti menggunakan pencegah kehamilan, kaedah ini mungkin tidak sesuai untuk anda. Hal yang demikian kerana kesuburan anda akan mengambil masa beberapa bulan untuk kembali sediakala.
Implan
Kaedah implan kekal selama 3 tahun. jadi anda perlu fikir masak-masak sama ada ini adalah kaedah yang sesuai untuk anda. Untuk kaedah implan, Nexplanon yang berupa tiub plastik fleksibel yang kecil dan nipis bersaiz 4cm panjang dan berdiameter 2mm akan dimasukkan ke bawah lengan.
Tiub ini mengandungi hormone progestogen. Anda boleh mengambil implan 21 hari selepas bersalin. Anda masih boleh menyusu badan kerana hanya sedikit sahaja progestogen yang masuk ke dalam susu anda, dan selamat untuk bayi.
Doktor akan memasukkan implan ini ke bawah lengan anda. Ia boleh dikeluarkan apabila anda mengambil keputusan untuk menukar kaedah mencegah kehamilan atau apabila anda mahu cuba untuk hamil lagi. Kaedah implan berkesan lebih daripada 99 peratus.
Alat dalam Rahim ( IUD)
Alat dalam Rahim (intrauterine device) atau IUD boleh digunakan selama 3 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis yang digunakan.
Anda boleh mula menggunakan IUD pada bila-bila masa daripada empat minggu selepas bersalin. Doktor atau jururawat akan memasukkannya untuk anda. Anda boleh menggunakan IUD samada anda bersalin secara normal atau caesarean. Keberkesanan IUD adalah lebih daripada 99 %.
*Jangan Terlalu AWAL* *Jangan Terlalu LEWAT* *Jangan Terlalu RAPAT*
Setiap Anak yang dianugerahkan oleh Allah adalah anak yang diingini dan ditunggu-tunggu oleh kedua ibu bapanya.
Setiap Anak berhak menikmati kehidupan berkeluarga yang aman dan bahagia.
Setiap Anak adalah anak yang dikehendaki dan disayangi.
Setiap Kehamilan adalah kehamilan yang dirancang, bukannya kehamilan secara ‘accident’. Buang jauh-jauh istilah TERmengandung!
Kredit Gambar: Google
Kisah ini dikongsi oleh pengguna Twitter Dr. Eizat menggunakan akaun Twitter @muhammadeizat dan mendapat hampir 16,000 Retweet. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live