Semua | All
#GempakSpot: Rentas Negeri Oh Rentas Negeri...
Rentas Negeri, saat ini penulis kira adalah tajuk atau topik utama yang dibincangkan masyarakat kita sehari hari.
Sama ada mahu rentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta di kampung halaman; yang ironi umpama mimpi di siang hari selepas ketetapan tidak boleh merentas negeri masih berkuat kuasa sehingga 17 Mei depan, atau saja mahu berlibur; semuanya masih 'haram' dilakukan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan sehingga 17 Mei ini atau sehingga tarikh lain diputuskan kelak.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira lebih 13 kluster akibat merentas negeri dilaporkan di beberapa negeri sejak April lalu.
"Kami mengesan beberapa kluster yang tercetus dalam komuniti akibat majlis dan program seperti majlis pengebumian, perkahwinan, sambutan perayaan, majlis kesyukuran, majlis pertunangan dan bencana banjir," katanya.
Begitulah lebih kurang mengapa rentas negeri masih ditegaskan tidak boleh dilakukan oleh kita semua.
Pada saat banyak yang merana kerana sudah dua tahun tidak bertemu keluarga, mengalami masalah gangguan kesihatan mental kerana terlalu lama terpuruk di rumah dan SOP yang menjadi kekangan untuk menziarah keluarga sakit misalnya, ada juga kes kes yang seperti sengaja menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat dengan sikap segelintir individu yang tidak sensitif terhadap situasi masa kini.
Menerusi platform media sosial, ada individu entah secara sengaja atau tidak memuat naik aktiviti 'dua darjat'. Merentas negeri, berlibur. Merentas negeri pergi kenduri kahwin. Merentas negeri hanya untuk membuat persiapan raya. Merentas negeri untuk honeymoon. Itu belum lagi menipu surat keizinan merentas negeri yang dipalsukan. Pendek kata merentas negeri untuk kepentingan peribadi.
Tapi bila jabatan netizen mula buat kerja, mereka pula dikatakan dengki, sentiasa busuk hati dan serkap jarang tak henti. Namun, lihatlah semula kepada diri sendiri. Siapa yang mengundang jabatan netizen panas hati dan memanjangkan isu yang sepatutnya boleh disimpan rapi tanpa dikemas kini dalam media sosial.
Rentas negeri. Inilah topik hangat yang diperdebatkan sejak COVID 19 melanda negara. Bukan sehari dua, tapi dalam tempoh dua tahun ini, sudah beberapa kali kawalan pergerakan dilaksanakan kerajaan sehingga pernah sehingga satu tahap, mahu merentas daerah pun tak lepas. Kasihan kita (termasuk saya) yang begitu patuh dengan arahan sedang ada pihak yang ingkar dan berbangga pula.
Seriuslah, kalian memang tak takut dijangkiti virus ini ke? Kalau tak takut, sekurang kurangnya ingatlah orang di sekeliling. Kalau kita tak jaga kita, siapa lagi nak jaga kita?
Jadi, untuk kalian yang ada kebebasan merentas negeri atau urusan apa sekalipun yang diluluskan oleh piha berwajib, tolonglah sensitif. Sebab rentas negeri ini sekarang sudah jadi seperti sebuah polemik negara yang cukup kronik. Bila bila masa macam bom jangka yang boleh meledak.
Banyak yang jadi tak peduli apa sedang berlaku di luar sana, tetapi memberi fokus kalau ada yang sengaja melanggar kemudian show off pula aktiviti sewaktu merentas negeri.
Apa kata, penulis mohon untuk dalam keadaan 'kritikal' seperti ini, simpan sahaja apapun yang sangat mengujakan kalian termasuk dapat pelepasan rentas negeri untuk diri sendiri. Sesekali, jadilah matang, jangan pentingkan diri sendiri. Sekian.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Kredit Foto: Kosmo