Tahun 2019 pun sedang bergulir. Dan bukan sesuatu yang konyol untuk memasang berapa banyak pun azam.

Namun, adakah ia hanya menjadi seni retorik atau benar benar akan dilaksanakan?

Itu, sila tanya diri sendiri. Sila juga selak azam tahun lalu dan tahun tahun sebelumnya. Adakah jika kalian menyenaraikan lima azam seperti bangun lebih awal untuk solat Subuh sebelum bergegas ke tempat kerja, juga akan mengutip setiap helaian rambut yang mula gugur kerana faktor usia terlaksana?

Kalau terlaksana, ayuh kayuh laju ke hadapan dan pupuk azam baru yang diyakini mampu juga dilunaskan.

Saya menanam azam setiap hari. Sungguh, saya tidak menanti sehingga berganti tahun untuk pasang azam sebab saya percaya ia barangkali akan lebur dalam mimpi tanpa dilaksana.

Bila saya fikir semula, apakah azam yang telah berjaya meretorikkan diri saya?

Memandu.



Ini kisah benar. Saya mengalami fobia selepas ikut terlibat dalam sebuah kemalangan kereta sewaktu menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota lebih 10 tahun lalu. Sejak itu, saya akan mudah berasa panik apabila melihat lori, bas atau kereta menderu di jalanan.

Paling gemuruh bila berhenti di lampu merah dan pada waktu sama, terdapat banyak motor berhenti sama.

Apabila lampu merah bertukar hijau, bunyi deruan motor dan kereta di kiri dan kanan akan membuat saya gugup dan cemas bukan kepalang.

Beberapa tahun kemudian, saya memberanikan diri untuk mengambil lesen memandu. Itu azam tahun bila, yang hampir saya laksanakan, saya pun lupa. Sebab ia seperti azam tertunda sejak bertahun lamanya.

Okay, kemudian. saya tinggalkan kelas memandu pada fasa kedua percubaan memandu di jalan raya kerana terkejut menjadi sebiji kancil yang diapit lori siput di sebuah persimpangan.

Dan, tidak tahu mahu ketawa atau marah kepada tenaga pengajar yang meninggalkan saya belajar parkir sendirian sambil beliau menikmati kopi membuatkan semua tiang parkir habis saya langgar tanpa ampun.

Paling epik, sedang syok belajar corner, tiba tiba beliau minta saya berhenti. Katanya yang masih membekas dalam minda: “Jom balik, bini aku suruh beli santan.” Beliau hentikan kelas yang baru mula sebab dapat arahan dari isteri kena beli santan!!!



Pendekkan cerita, lesen itu gagal saya perolehi. Tetapi adakah azam memandu yang saya bawa dari satu tahun ke satu tahun kandas?

Tidak. Sebab sekitar enam tahun lalu, akhirnya saya dapat melunaskan azam memandu melalui suami yang hanya memberitahu pedal minyak sebelah kanan dan tekan brek sebelah kiri. Lain lain, katanya saya boleh handle bila sudah berada di atas jalan raya.

Saya pendekkan lagi kisah azam ini. Maka, pada hari pertama memandu, kami empat beranak sempat naik divider sebab saya gagal membaca jarak di antara corner sewaktu membuat pusingan U di sebuah jalan besar di ibu kota.

Dan sehingga kini, ada juga sekali dua saya naik divider atau terlebih berhenti yang membuat pemilik sebuah stesen minyak panik, nombor plat kereta tertanggal serta panjang lagi list yang lainnya.

Jadi, sudah boleh dapat menebak apakah seni retorik saya pada tahun ini? Tentulah untuk menajamkan skil memandu dan lebih berhemah di jalan raya.

Untuk kalian, selamat memujuk diri untuk menepati setiap azam yang telah digaris bawahkan.

Selamat menikmati 2019 untuk semua, sama ada yang memasang azam atau hanya memasang angan, teruskan kerana mimpi itu percuma.

Maliah Surip adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.

Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke [email protected]

Kredit foto: Shutterstock, Pinterest