Personal Experience | Pengalaman Sendiri
#GempakSpot: "Terkesan Dengan PKP Tetapi Percayalah Kuasa Dhuha & Doa"
Perkongsian seorang pengguna Twitter, @angelpakaigucci tentang kelebihan Dhuha dan doa dalam menjalani kehidupan harian.
KUASA DHUHA DAN DOA
Saya nak kongsikan satu cerita. Cuma saya tak pastilah anda akan percaya atau tidak, kerana saya sendiri jujurnya susah nak percaya. Sumpah tak tipu.
Kerana cerita ini betul-betul ajaib dan luar biasa. Anda nak dengar? Betul? Baiklah.
Anda yang mengikuti saya pasti tahu yang saya antara yang terkesan dari aspek ekonomi kan?
Hujung Mac yang lepas, saya sudah lagi tidak dibayar gaji kerana syarikat tempat saya bekerja - sebuah start-up - tidak mampu untuk membayar gaji dek terkesan dengan PKP.
Dua tiga minggu lepas, usai solat berjemaah Zuhur di surau kawasan taman perumahan saya, saya berborak-borak dengan seorang ahli jemaah yang berasal dari Bangladesh.
Dia berada di Malaysia kerana bekerja. Dia ada permit untuk bekerja secara sah ok? Saja bagi disclaimer awal.
Antara topik perbualan kami adalah kesan ekonomi kerana Covid. Dia maklum yang saya sudah tidak lagi bekerja.
Kemudian ia membawa kepada kami berborak tentang kelebihan dhuha. Dia berkongsi kisah tentang seorang syeikh (yang saya tak ingat namanya).
Ceritanya, orang ramai berasa hairan bagaimana syeikh itu tampaknya boleh hidup senang dan lenang sedangkan dia tidak bekerja (definisi kerja seperti orang lain).
Syeikh itu berkongsikan rahsia; dia mengamalkan solat dhuha 12 rakaat.
Sahabat saya dari Bangladesh itu menambah, yang sejak mendengar kisah itu, dia turut beramal dengan solat dhuha 12 rakaat.
Setiap kali dia dalam kesusahan atau dalam proses mencari kerja, dia pasti akan solat dhuha 12 rakaat sebulan lebih awal. Dan ia berkesan untuknya!
Saya kagum mendengarnya. Saya memasang niat dan azam untuk mencuba sendiri solat dhuha 12 rakaat itu.
Esoknya saya cuba untuk solat dhuha 12 rakaat. Jujur saya katakan, ia tidak semudah yang saya sangkakan!
Terhuyung-hayang juga nak habiskan sehingga 12 rakaat tu!
Esoknya saya cuba lagi. Meskipun ia masih mencabar, tetapi tidaklah sepayah hari sebelumnya.
Dan anda tahu apa yang terjadi pada hari itu?
Seorang rakan yang bekerja di sebuah bank tiba-tiba menghubungi saya dan meminta resume saya.
Saya macam.. Biar betul!
Tanpa berfikir panjang, saya terus menyerahkan resume saya. Tapi saya tidak meletakkan pengharapan yang tinggi kerana berbelas-belas permohonan saya sebelum ini semuanya sama ada ditolak atau dibuat biskut sahaja.
Tapi kali ni lain. Tak lama lepas tu, rakan saya ni hubungi saya semula dan beritahu yang saya akan dipanggil untuk ditemuduga.
Anda rasa apa perasaan saya ketika itu?
MASHA ALLAH SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH ALLAHU AKBAR LA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAH!
Saya macam.. Baru dua hari je kot aku solat dhuha 12 rakaat ni?!
Ya Allah nikmat Tuhan yg mana satukah yg kau nak dustakan wahai Inche gabbana?
Tak cukup dgn tu, hujung minggu yg sama, saya dah rancang utk bertemu dgn seorg rakan sekolah yg mahu ambil kad perubatan dengan saya.
Anda tahu apa yang terjadi? Ya, dia bersetuju untuk ambil kad perubatan itu tanpa ragu-ragu!
Minggu depan tu, seorang lagi rakan lama mahu berjumpa kerana mahu mengambil kad perubatan untuk dia dan isterinya. Alhamdulillah, bukan setakat kad perubatan yang dia ambil, hibah pun dia sapu!
Dan saban minggu (jika tidak hari), saya terus menerima pertanyaan demi pertanyaan tentang produk takaful yang saya tawarkan.
Allah Allah!
Saya ni, belum sebulan pun lagi jadi konsultan takaful tapi.. Ya Allah tak tahu nak cakap macam mana!
Gembira? Toksah cakaplah. Bersyukur? Adui pernah dengar tak hadith tentang seorang lelaki yang jumpa balik unta dia tu? Macam tu kot perasaan saya masa tu!
Dan anda tahu apa perkembangan terbaru tentang saya? Syarikat start-up dulu tu, mahu (dan telah) mengambil saya bekerja kembali!
Bukan satu, dua, tapi TIGA kunci pintu rezeki Allah beri pada saya!
Nah, anda beritahu saya, adakah semua ini ada kena-mengena dengan amalan solat dhuha 12 rakaat itu?
Hanya Allah sahaja yg tahu, tetapi satu prinsip yg saya pegang sejak dahulu: TIADA KEBETULAN DALAM HIDUP INI!
Macam mana? Luar biasa kan kisah ni?
Op op, saya belum habis lagi!
Ini pengajaran yang saya nak kongsikan daripada kisah ini:
JANGAN SESEKALI BERPUTUS-ASA DENGAN RAHMAT DAN PERTOLONGAN ALLAH!
Antara perkara yang saya pegang kuat sewaktu saya ditimpa 'musibah' sewaktu PKP:
Saya amat yakin dengan perancangan Allah untuk saya. Setiap hari saya katakan kepada diri:
"Rilek. Dia Maha Mengetahui. He has something better for you. Chill. Yakin dengan Dia."
Susah untuk ditelan sebenarnya, tetapi itulah azimat dan mantera yg saya ulang dan ulang saban hari.
Sepanjang Ramadhan, saya terus berdoa dan bermunajat kepada-Nya. Tiada satu hari pun yang tertinggal tanpa saya bersungguh-sungguh berdoa dan bergantung harap kepada-Nya.
Dan antara doa yang sering saya amalkan adalah doa Nabi Musa AS:
رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
"Wahai Tuhanku! Sungguh aku amat memerlukan kebaikan yg Engkau turunkan kepadaku." (al-Qasas, 28:24)
Dan akhirnya Allah SWT telah menjawab doa-doa saya. Tidak sekadar itu, Dia juga telah menggantikan yang lebih baik untuk saya.
Dia benar-benar telah menurunkan kebaikan kepada saya!
Saya bukan sahaja mendapat pekerjaan saya yang dahulu, tetapi kini dapat pula terlibat dengan industri takaful yg jujurnya sudah membuatkan saya jatuh chenta! Hehe.
Nikmat Tuhan yg mana satukah yang kau dustakan?
Kepada anda yang merasakan diri masih berada di tempat saya yang dahulu, jangan sesekali berputus-asa dengan rahmat-Nya.
Yakin dan teruslah percaya dengan perancangan dan aturan-Nya untuk kita.
Yakinlah pada-Nya kerana Dia ialah Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, dan Dia tidak akan pernah menghampakan hamba-hambaNya yg terus bergantung harap kepada-Nya!
Ayuh, terus melangkah ke hadapan. Bismillah, jalan!
#tawakkal
#bangkitkembali
#kuasadoa
#kuasadhuha
Kredit Gambar: Google
Kisah ini dikongsi pengguna menggunakan akaun Twitter @angelpakaigucci dan mendapat hampir 13,000 Retweet dan hampir 18,000 Likes. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot
Must-Watch Video