Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Semua | All

#GempakSpot; Tolonglah Saat Ini, Semuanya Sensitif Dari Makan Durian Sehingga Tarbiah Mengaibkan

Maliah Surip 05/07/2021 | 14:20 MYT
Saya belum lagi sampai angkat Bendara Putih, juga belum mengambil keperluan asas makanan di mana mana food bank yang disediakan rakyat Malaysia berhati mulia.
Juga, saya belum lagi 'turun padang' hanya kerana terdesak sekurangnya mendapat sekampit beras buat alas perut anak anak sebulan dua.
Tapi saya sama seperti rakyat Malaysia lainnya yang sangat terkesan dengan pandemik Covid 19, terutama dari segi ekonomi apabila hanya seorang ahli keluarga sahaja yang mempunyai sumber pendapatan berbanding sebelum ini.
Namun, syukur Alhamdulillah, kami masih cukup makan dan pakai.
Cuma saat ini, saya rasa untuk yang punya kecukupan seperti masih punya pekerjaan, gaji tidak dipotong dan masih hidup seperti sebelum zaman pandemik, jadilah manusia yang lebih sensitif.
Besarkan empati diri dan jaga sensitiviti terutama sewaktu mahu mengemaskini platform media sosial masing masing atau menuliskan komen. Mungkin, RM50 untuk membeli sebiji durian dan ditulis ringkas 'Sedapnya D24' bersama foto raja buah itu tidak sensitif untuk anda. Benar ia juga bukan sebuah kesalahan.
Tapi barangkali amat sensitif untuk golongan yang saat ini dengan RM50 hanya mampu membeli sekampit beras 10 kilogram bersama minyak. Lauknya? Tiada. Tapi kita, mungkin mengeluarkan RM50 untuk membeli kehendak, bukan keperluan masih mampu.
Saya menangis membaca laporan banyak keluarga yang mengenepikan malu hanya untuk menyambung hidup sehingga ada yang mengambil jalan pintas dengan megambil nyawa sendiri kerana tekanan.
Dengan kempen Bendera Putih yang menimbulkan beragam pendapat pula sebenarnya tanpa sedar telah membuktikan rakyat Malaysia sangat prihatin dan pemurah.
Misalnya, kempen yang digerakkan ini juga telah menemukan 5 sekeluarga yang berkongsi sebuah bilik kerana kesempitan hidup! Pertolongan juga sampai kepada orang kelainan upaya (OKU) yang sememangnya tidak boleh bekerja tetap putus bekalan makanan.
Pelan pelan saya juga menangis membaca banyaknya para ibu bapa yang meminta pertolongan sekurangnya hulurkan bantuan membeli beras, pampers dan susu anak. Susu pekat manis pun tak apa, kerana sudah tidak lagi mampu membeli susu tepung seperti Ducth Lady yang berharga di bawah sekitar RM27.
Bayangkan, jika barang keperluan dibawah RM30 pun sudah tidak mampu dibeli, peluang pekerjaan tertutup sama sekali, apa lagi yang mampu dilakukan oleh keluarga yang terjejas teruk kerana pandemik ini?
Keluar mendapatkan bantuan. Malangnya, ada pula yang menggunakan kesempatan sambil membuat jariah 'sekali jalan' memberi tarbiah seperti yang tular dalam video di laman sosial baru baru ini.
Menyampaikan seruan agama, mengingatkan sesama kita tentang solat itu indah. Sungguh indah. Namun ia jadi tak indah apabila penyampaiannya keterlaluan sehingga mampu mengaibkan.
Kadang kadang kita perlu tengok diri sendiri. Jika kita berasa baik, ada banyak lagi ciptaan Allah yang baik. Maka berhati hatinya kerana mungkin dengan berasa diri kita baik menjadi asbab besar kita ke neraka.
Buat masa ini ketepikan ego, ketepikan syak wasangka. Lain orang lain cabaran hidup. Tapi saya percaya di saat pandemik ini, semua rakyat terkesan. Jika tidak berkurang pendapatan, mungkin ada yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID 19.
Jika kehidupan kita baik baik saja, bersyukur dan bantu berdoa untuk negara agar pandemik ini jangan mengheret lebih banyak sengsara.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.
Kredit Foto: Ahli Parlimen Kota Melaka
#Durian #GempakSpot #Sumbangan #Sedekah #Sensitif #Bendera Putih #Tarbiah
;