Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Semua | All

#GempakSpot: Yang Disimpan Tambak Johor, Bukan Hanya Harapan Tapi Luka & Cinta

Maliah Surip 08/02/2021 | 15:00 MYT

Petang itu, bersama semilir angin. Tersedu sedan dengar dia memanggil.

“Abah, abah, mana abah. Isha rindu. Abah kata nak balik,” bersama rintihan itu, dia memanggil berulang kali.

“Abahhhhhhh, baliklaaah, abah cakap pergi sekejap saja. Isha rindu”, tangisnya terdengar sayu.

Raisha Abdul Malik. Saat sang ayah, Abdul Malik nekad menyeberang Tambak Johor menuju Singapura, negara sehari harinya tempat dia bekerja sejak beberapa tahun lalu dan belum kunjung pulang (sehingga artikel ini ditulis), dirinya ditinggalkan pada usia empat tahun.

Februari 2021. Raisha sudah memasuki usia lima tahun. Dia sudah bersekolah tadika; tanpa sang ayah ada untuk melihat, mempersiap anak sulungnya itu menjejakkan kaki ke sekolah buat pertama kalinya.

Semua persiapan sekolah Raisha diuruskan ibunya, Fiza. Dia kini sudah semakin bijak mengurus rasa, biar sesekali mengalir air mata, rindukan sang ayah.

Raisha juga punya dua adik, Aulia yang memasuki empat tahun dan si bungsu, laki laki.

Si bungsu, laki laki, Anaqi, baru melewati usia enam bulan. Situasinya sama seperti Raisha. Sang ayah tidak dapat melihat bagaimana dia tumbuh membesar; punya satu gigi, dari bertatih dan kini sudah pantas berjalan.

Dia terlepas semua momen momen kebersamaan yang dibina bersama keluarga demi sesuap nasi di Tambak Johor.

Sejak tidak pulang lantaran pandemik COVID 19 dengan langkah rentas sempadan Singapura Malaysia dan Malaysia Singapura, apabila semakin diperketatkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) itu bermula November lalu, Malik terlepas banyak momen.

Hatinya galau, mahu segera pulang ke dakapan keluarga. Namun, siapa yang akan menyuap makan mereka berlima tanpa kerja?

Semakin lama di Singapura, mentalnya semakin diuji, apalagi mengenang anak anak; malaikat kecil yang meniupkan semangat buatnya melakukan pengorbanan demi mereka.

Oh Tambak Johor. Sejak pandemik COVID 19 melanda dunia, semakin banyak cerita yang tertangguh di perjalanannya. Yang bahagia. Yang derita.

Yang derita itu juga sedang ditahan dari tumpah oleh Mohammad Hafiz, anak kelahiran Terengganu yang menikahi wanita dari Johor Bahru dan bekerja di Singapura. Dia bekerja sebagai material handler di YCH Group PTE LTD yang terletak di Jurong West.

Baru satu tahun tinggal bersama isteri, kini dia telah menghabiskan hampir setahun tinggal di gudang bersama sama pekerja asing lainnya kerana tidak dapat pulang; sebuah rutin harian berulang alik dari dua buah negara yang berjiran ini.

"Bulan Mac 2021, genap satu tahun saya tak pulang ke Malaysia. Untuk sebulan pertama saya cuba bersabar kerana menjadi anak rantau bukan perkara baharu buat saya. Hanya komitmen kini berbeza, dulu bujang sekarang sudah berdua.
"Boleh saya katakan selepas enam bulan, walaupun sudah rasa macam imune, tapi tak boleh nak kawal rasa untuk pulang ke Johor. Bersama isteri, hidup normal berulang alik kerja. Sukar memang nak gambarkan dengan perkataan, kecuali doa," akui Hafiz kepada GSpot.

Kini mentalnya sudah lelah. Sungguh, seperti hampir 200, 000 rakyat Malaysia yang 'terkandas', dia mahu pulang ke tanah air, namun mengenang apakah pekerjaan yang boleh diperoleh, hasrat itu tenggalam.

(Hafiz sudah lebih empat tahun bekerja di Singapura dan pertama kalinya tidak pulang hampir setahun ke Malaysia kerana pandemik COVID 19)

Untuk berapa lama lagi, dengan langkah rentas sempadan yang makin ketat, dengan kekangan kewangan untuk jika memilih jalur pelawat yang memasuki Singapura di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan pelawat berpangkalan di Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), yang kosnya dianggarkan mencecah lebih RM6,000, (termasuk kuarantin) segalanya perlu difikir dan diperhalusi dengan waras.

Di Tambak Johor, hanya dengan jarak panjang keseluruhan 1 kilometer (0.62 batu) sahaja. Namun, di sinilah sedang tersimpan harapan semua keluarga yang terpisah dari ibu bapa dan anak atau anak dengan ibu dan bapa.

Di Tambak Johor, yang saban hari tak pernah sunyi sebelum pandemik melanda adanya luka yang tak tertahan lagi oleh banyaknya para pejuang berkorban demi keluarga.

Dan di Tambak Johor, di sinilah cinta tidak akan terpadam, mengharap sinar terus terang benderang untuk jawapan bagi sebuah pengorbanan setiap anak Adam.

Begitulah sejarah pandemik COVID 19, tidak ada siapapun di dunia yang dapat menebak datangnya virus ini hampir melumpuhkan dunia. Dari semua sektor termasuk hubungan manusiawi yang kini bergantung kepada teknologi untuk berkomunikasi. Mendekatkan yang jarak hanya dari skrin, dan harapnya tidak rapuh di hati.
Pandangan dan pendapat penulis adalah karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke GempakSpot.

#Malaysia #Singapura #GempakSpot #Pengorbanan #COVID 19 #Tambak Johor
;