Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Education | Pendidikan

#GempakSpot: Zoo Manusia Pada Zaman Imperialis Barat. Seram Dan Zalimnya Mereka Sesama Manusia!

Gempak Spot 15/11/2019 | 08:54 MYT
Perkongsian pengguna Twitter @PopPelangi sememangnya penuh dengan sejarah yang cukup menarik untuk dikongsi bersama anak-anak atau sesiapa sahaja.
Cuti sekolah semakin hampir dan saya bercadang untuk bawa anak saya melawat ke zoo. Tetapi dia kata kesian dengan haiwan yang ada di dalam zoo, kerana tidak berada di tempat asal.
"Melur tahu tak, dulu ada zoo manusia?"
Dia tergamam.
Sebelum saya bercerita tentang zoo manusia ini, elok saya mula bercerita tentang Scramble For Africa, di mana dalam mesyuarat dipanggil Berlin Conference pada tahun 1884, pemimpin negara Eropah membahagikan Afrika sebagai tanah jajahan mereka.
Raja Leopold II, Raja Belgium telah menjadikan Congo sebagai hak miliknya dan mana-mana orang yang tidak mahu bekerjasama akan diseksa dan dibunuh.
Kerana status Congo sebagai "personal union" tidak tertakluk dalam perlembagaan Belgium. Maknanya boleh buat ikut suka hatinya.
Leopold II telah memerintah Congo dari 1876 dan pada mesyuarat Berlin itu, negara-negara Eropah yang lain juga mahu bahagian mereka agar tidak bersaing sesama mereka.
Portugal mengekalkan kedudukan mereka di Angola dan Mozambique, sementara Belgium di Congo, Jerman di Tanzania dan Namibia, Itali pula dapat Libya, Eritrea dan bahagian utara Somalia yang dipanggil Somaliland. Perancis mendapat kawasan di sekitar Sahara dan Sahel, sementara British mendapat kawasan seperti Mesir, Sudan, Kenya, Zimbabwe, Afrika Selatan dan lain-lain.
Apabila mereka membahagikan kawasan, mereka langsung tidak cakna dengan penduduk setempat serta kaum peribumi di sana. Dan di Belgium, disebabkan seluruh tanah Congo adalah milik peribadi Raja Leopold, maka tentera berhak menculik mereka untuk dijadikan hamba abdi, atau hidup dalam zoo manusia.
Tetapi sebenarnya zoo manusia ni bermula sebelum King Leopold lagi. Malangnya, ia bermula pada zaman kegemilangan Tamadun Barat, iaitu Rennaissance.
Keluarga Medici, merupakan keluarga aristokrat, mempunyai sangkar yang ada ramai kaum dari Afrika ...yang diculik dan dijadikan pameran. Orang ramai membayar tiket untuk memerhatikan orang yang berasal dari Afrika seperti kita melihat haiwan di zoo hari ini.
Jadi budaya ini diteruskan oleh penjajah Eropah setiap kali mereka menawan bukan sahaja Afrika tapi benua lain.
Carl Hagenback, merupakan seorang pedagang haiwan eksotik di Eropah, mula mendapat idea untuk memperdagangkan manusia sekitar 1870an.
Antara yang dipamerkan ialah orang Samoa, beberapa kaum dari Papua New Guinea (kerana masa itu adalah jajahan Jerman), orang Sámi di Finland dan orang Nubian di Sudan, dan dipamerkan di zoonya di Hamburg.
Kaisar Wilhelm II turut melawat zoo manusia ini.
Selain Eropah, di Amerika juga mempunyai zoo manusia. Misalnya Phineas Taylor Barnum mempamerkan kembar melekat dari Siam (kerana itu dipanggil kembar Siam) iaitu Chang dan Eng pada 1829, dan dibawa ke tempat pameran dipanggil "freak show".
Sara Baartman (nama yang diberi oleh penjajah Belanda) merupakan seorang wanita kaum Khoikhoi, yang tinggal di Afrika Selatan, dijadikan pameran freak show di London pada 1810 kerana bentuk punggungnya.
Lelaki bernama Henry Taylor menjualkannya ke S. Reaux, lalu merogolnya untuk eksperimen. Baartman melahirkan anak Reaux tetapi mati sakit akibat penyakit. Baartman mati di tepi jalan di Paris 1815.
Trend zoo manusia ini mula tidak digemari oleh masyarakat Eropah dan Amerika selepas Perang Dunia Pertama, dengan melihatnya sebagai kejam.
Pada 1931, pameran zoo manusia dianjurkan oleh penganjur Pameran Kolonial Perancis di Paris, menarik 34 juta pengunjung, namun pada ketika itu sudah ada suara bantahan dan penentangan terhadap perkara tersebut.
Pada 1925, pameran di Manchester berlangsung di zoo Belle Vue dengan melabelkan orang Afrika sebagai kanibal.
Ironinya, amalan ini diharamkan di Jerman pada zaman Nazi, kerana semangat perkauman mereka membuatkan mereka tidak berminat untuk mengenal kaum lain.
Bagaimanapun, amalan ini terus dihentikan selepas Perang Dunia Kedua.
Pun begitu, ramai bekas penghuni zoo manusia ini mencari kerja dengan bekerja di sarkas yang memerlukan aksi akrobatik yang berbahaya.
Hari ini, rata-rata penduduk dunia melihat perkara ini sebagai tidak berperikemanusiaan dan memang tidak patut diwujudkan semula.
Selepas bercerita tentang zoo manusia, Melur berharap zoo haiwan pun tidak ada lagi sebab dia mahu haiwan tersebut hidup bebas di habitatnya.
Lagipun dia pun kata "kalau nak belajar pasal binatang, Animal Planet kan ada?"
Baiklah, saya bawa dia pergi Muzium Tekstil sahajalah.
Kredit Gambar: @PopPelangi
Kisah ini dikongsi oleh pengguna Twitter Tweet Puan Eleena M menggunakan akaun Twitter @PopPelangi dan mendapat hampir 3,000 Retweet. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
#GempakSpot #Sejarah #Zoo Manusia
;