Minggu pertama The Masked Singer Malaysia 2 menyaksikan penyingkiran Harum Manis.

Harum Manis yang menyampaikan lagu berjudul Oh La La nyanyian asal kumpulan KRU akur dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun momen epik berlaku apabila tiba masanya Harum Manis membuka topeng untuk mendedahkan dirinya.

Tidak ada satu juri pun yang menyangka bahawa orang di sebalik topeng itu adalah penyampai radio ERA iaitu Ray.

Tidak berasa kecewa, Ray menyatakan rasa seronok kerana diberi peluang untuk menyertai The Masked Singer Malaysia 2.

“Saya masuk pun untuk suka-suka, gementar tu tak payah cakaplah. Walaupun rezeki hanya setakat ini tapi saya seronok,” katanya kepada Gempak.

Minggu ini menyaksikan Bujang Senang berada ditempat pertama manakala tiga kedudukan terbawah jatuh kepada pepatung, Nanas dan Harum Manis.

Apa pula keadaannya untuk minggu kedua nanti? Siapa pula yang bakal tersingkir?

Sama-sama kita nantikan.

The Masked Singer Malaysia 2 menyaksikan seramai sembilan juri tetap iaitu Datuk Aznil Hj Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Rlla Aminuddin, Remy Ishak, Amy Mastura, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.

Pengacara versatil negara, Datuk AC Mizal pula diberikan tanggungjawab sebagai hos The Masked Singer Malaysia 2.

Saksikan The Masked Singer Malaysia 2 setiap Jumaat, mulai 28 Januari 2022, jam 9.00 malam di Astro Warna HD (saluran 107), dan juga boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand!

Berlangsung selama 10 minggu, sesi rakaman The Masked Singer Malaysia 2 berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

The Masked Singer Malaysia musim kedua ini dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang bakal bersiaran setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 28 Januari 2022.

Live+ yang dihoskan oleh Izzue Islam dan Anna Al Jufrey ini akan menyingkap semula kesemua persembahan setiap peserta di samping berinteraksi bersama audiens dengan pengisian menarik sepanjang program berlangsung.

SINAR tampil sebagai Radio Rasmi dan disokong oleh ERA untuk musim ini, manakala Gempak, Zon Lawak dan Ria X hadir sebagai Rakan Digital.

Terdahulu, The Masked Singer Malaysia musim pertama telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Best TV Format Adaptation (non-scripted) di anugerah Content Asia Awards 2021, Ogos lalu.

Majlis penganugerahan tahunan ini mengiktiraf pemain industri kandungan terbaik serata Asia termasuklah Malaysia, Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.