Penyanyi, Ziana Zain akui bapanya, Zain Abdullah merupakan tulang belakang bagi kejayaannya dalam bidang seni bersama adiknya, Anuar Zain.
Jelas Ziana atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain, bapanya banyak mengajarnya dalam bidang nyanyian sejak awal kemunculannya dalam industri seni.
Advertisement
“Dia adalah tulang belakang bagi kejayaan saya dan Anuar. Dia yang banyak ajar saya menyanyi, bagaimana nak tarik nafas, keluar perkataan dan sebagainya. Dia yang banyak mengajar masa awal-awal kemunculan saya,” katanya kepada Gempak.
Malah, pelantun lagu Madah Berhelah itu juga akui Allahyarham sangat menitik beratkan soal pemakaian sepanjang bergelar penyanyi.
“Lepas tu dari segi fesyen dia sangat jaga penampilan saya, sehingga ke hari ini walaupun dia sakit dia akan tanya mana saya pergi, dengan siapa saya keluar bekerja dan siapa yang akan makeup kan saya.
“Nanti balik saya akan tunjuk gambar dekat dia sampai sekarang meskipun dia dah sakit,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ziana turut berkata Allahyarham sentiasa mengingatkannya untuk sentisa berikan yang terbaik semasa membuat persembahan dan lakukannya dengan seikhlas hati.
Terdahulu, Allahyarham Zain disahkan meninggal dunia di kediaman mereka di Subang Permai, Selangor sekitar pukul 2.50 petang.
Arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam tepat jam 7.00 malam.