Sekilas
- Erra Fazira mengumumkan bakal berkahwin dengan usahawan Ezwan Zain pada 12 Disember 2025 di Shah Alam, Selangor.
- Majlis resepsi akan diadakan pada 13 Disember selepas majlis pernikahan berlangsung.
- Ini adalah perkahwinan ketiga Erra selepas bergelar ibu tunggal selama 10 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan bersama bekas suami, Engku Emran.
Aktres, penyanyi dan hos Erra Fazira, 51, menamatkan spekulasi majlis pernikahannya dengan usahawan yang lebih dikenali dengan nama Mr E, 44, apabila mengumumkan bakal berkahwin pada 12 Disember 2025.
Majlis pernikahan akan berlangsung di Shah Alam, Selangor dengan mempelai akan diraikan dalam majlis resepsi pada 13 Disember.
Pengumuman gembira itu dikongsi pelakon yang mendapat julukan sebagai primadona filem Melayu itu pada pelancaran video muzik Cinta Abadi yang juga merupakan lagu tema perkahwinan mereka, sebentar tadi.
“Ya, Insya Allah kami akan menikah pada 12 Disember ini. Doakan agar ini menjadi pernikahan yang berkah buat kami berdua,” ujar Erra lagi.
Pernikahan bersama Mr E akan menjadi yang ketiga buat Erra selepas bergelar ibu tunggal selama 10 tahun.
Sebelum ini bahtera perkahwinan yang dibina bersama Datuk Yusry Abdul Halim dan Engku Emran kandas. Erra juga berkongsi seorang anak perempuan, Engku Aleesya bersama Emran yang dinikahi pada 2007 sebelum berpisah pada 2014.