Skip to main content

Hiburan

10 Tahun Simpan Rahsia, Vince Chong Akhirnya ‘Buka Mulut’ Mengenai Gangguan Bipolar - “Saya Juga Pernah Menolak…”

Vince

Sekilas

  • Selepas 10 tahun menyimpan rahsia, Vince Chong akhirnya mendedahkan perjuangannya menghadapi gangguan bipolar jenis 2 yang disahkan pada 2015.
  • Vince berkongsi bagaimana keluarga, terutama kakaknya, memainkan peranan penting dalam membantunya mendapatkan rawatan profesional dan mengawal emosinya.
  • Beliau menekankan pentingnya kesedaran dan mendapatkan bantuan pakar bagi mereka yang mengalami simptom bipolar agar tidak mengambil jalan mudah yang berbahaya.
Advertisement

Selepas 10 tahun menyimpan rahsia, penyanyi Vince Chong, akhirnya membuka mulut mengenai perjuangannya berdepan gangguan bipolar buat pertama kali. 

 

Advertisement

Vince berkata, perkara itu terlalu peribadi dan tidak pernah dikongsikan kepada mana-mana pihak sebelum ini, namun memilih untuk berterus terang kerana ingin memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan bantuan profesional.

 

Katanya, dia disahkan menghidap bipolar jenis 2 pada 2015 selepas keluarganya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila melihat perubahan emosinya yang ketara.

 

“Saya tak pernah kongsikan perkara ini dengan sesiapa pun. Kakak saya yang mula menyedarinya selepas menonton satu program mengenai penyakit bipolar membabitkan penyanyi Hollywood, Britney Spears. 

 

“Keluarga kemudian campur tangan dan minta saya berjumpa pakar psikiatri.

 

“Apabila diperiksa, saya disahkan menghidap bipolar jenis 2. Saya sangat berterima kasih kepada kakak kerana jika bukan disebabkan dia, mungkin sampai hari ini saya tidak tahu saya mengalami keadaan itu,” katanya.

 

Pendedahan itu dibuat bintang kelahiran Akademi Fantasi (AF) 1, itu menerusi program audio siar Kita Kita Aje Podcast bersama Datuk Aznil Nawawi.

 

Menurut Vince, ketika berada dalam fasa kemurungan, dia akan mengasingkan diri, termasuk enggan menghadiri sebarang acara atau bertemu orang ramai kerana hilang keyakinan diri.

 

“Masa itu saya rasa tak boleh berjaya, tak boleh buat apa-apa dan saya hanya mahu bersembunyi daripada dunia. Benda-benda kecil pun boleh menjadi pencetus sehingga saya rasa sangat tertekan.

 

“Saya juga pernah menolak pelbagai tawaran kerja kerana tidak mahu berdepan orang ramai. Saya lebih suka duduk dalam bilik dan enggan keluar,” katanya.

 

Pada peringkat awal, Vince mengakui sukar menerima hakikat dirinya mempunyai masalah kesihatan mental dan menolak cadangan keluarga supaya mendapatkan rawatan.

 

“Memang saya berada dalam fasa penafian. Saya juga ada masalah sukar menahan marah sehingga kadang-kadang menyakiti orang lain tanpa saya sedar. 

 

“Tetapi apabila diagnosis dibuat, saya terima hakikat dan sedar langkah pertama untuk mendapatkan bantuan adalah mengaku kita mempunyai masalah,” katanya.

 

Vince berkata, dia kemudian menjalani rawatan termasuk mengambil ubat yang membantu mengimbangkan emosinya sebelum akhirnya tidak lagi bergantung kepada ubat sejak kira-kira empat atau lima tahun lalu.

 

Katanya, perubahan gaya hidup seperti mendapatkan tidur yang mencukupi, bersenam serta memberi tumpuan kepada keluarga turut banyak membantunya sehingga merasakan dirinya kini berada dalam keadaan jauh lebih baik.

 

Vince juga berkata, kehidupannya semakin berubah selepas bergelar suami dan bapa apabila tanggungjawab terhadap keluarga menjadi keutamaan, sekali gus mendorongnya untuk terus menjaga kesihatan mental.

 

“Apabila sudah menjadi bapa, cara saya melihat kehidupan berubah. Selain ubat yang membantu mengimbangkan cara saya berfikir, saya juga cuba mengubah corak hidup dengan mendapatkan tidur yang cukup, bersenam dan memberi fokus kepada keluarga. Saya rasa itulah antara perkara yang banyak membantu saya,” katanya.

 

Dalam masa sama, Vince menyifatkan isterinya, Fiona Edward, sebagai insan yang banyak berkorban dan tidak pernah berputus asa sepanjang berdepan episod emosinya yang tidak menentu.

 

“Isteri saya tahu mengenai keadaan saya sejak awal tetapi dia tetap menerima serta menyayangi saya. 

 

“Dia banyak bersabar dengan perubahan mood saya yang turun naik. Dia memang penat, tetapi tidak pernah berputus asa. Dia adalah wira saya,” katanya.

 

Vince berharap pendedahan dibuatnya dapat membuka mata mereka yang mengalami simptom sama supaya tidak malu mendapatkan bantuan pakar kerana kelewatan mendapatkan rawatan boleh membawa kesan lebih buruk termasuk kecenderungan melakukan perkara yang boleh menganc nyawa.

 

“Ramai orang salah faham mengenai keadaan ini, tetapi saya tidak menjadikannya sebagai alasan. 

 

“Saya berkongsi sebab mungkin ada orang di luar sana yang mengalami perkara sama tetapi tidak menyedari masalah dihadapi. 

 

“Jangan cari jalan mudah seperti pengunaan dadah, sebaliknya dapatkan bantuan profesional dan rawatan yang betul,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

Nike Men's Sportswear T-Shirt - White [DX1984-100]

Nike Men's Sportswear T-Shirt - White [DX1984-100]

JDT Worldwide 1070

JDT Worldwide 1070

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY MICKEY MOUSE CAP Unisex Blue KA9885

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

Mofusand x Sanrio Family Plush Mini Keychain - Cute Gift

JDT Roundneck Tiger Claw 1067 Red

JDT Roundneck Tiger Claw 1067 Red

Must Watch Video

Advertisement