Sekilas
- Maria Tengku Sabri berkongsi pengalamannya menjalani solat duduk selama hampir 10 tahun akibat sakit lutut sebelum menjalani pembedahan bariatrik Julai lalu.
- Selepas pembedahan, Maria berjaya menurunkan berat badan dan memperbaiki kesihatan sehingga tidak lagi perlu mengambil ubat darah tinggi, diabetes, dan kolesterol.
- Maria menegaskan pembedahan itu bukan untuk penampilan, tetapi demi kesihatan agar dapat menjaga keluarga dengan lebih baik.
Pengacara terkenal, Maria Tengku Sabri mendedahkan dia pernah menunaikan solat dalam keadaan duduk selama hampir 10 tahun sebelum membuat keputusan menjalani pembedahan bariatrik pada Julai tahun lalu.
Menurut Maria, perubahan yang dialaminya selepas menjalani prosedur itu bukan sekadar membantu menurunkan berat badan, malah memberi kesan besar terhadap tahap kesihatannya sehingga kembali mampu menjalani rutin harian dengan lebih baik.
“10 tahun saya solat di atas kerusi sebab saya ada sakit lutut yang teruk.Tetapi selepas buat pembedahan bariatrik, Alhamdulillah saya dah boleh solat berdiri.
“Sakit lutut saya teruk sampaikan kalau berjalan dengan kawan-kawan di luar negara saya pasti akan ketinggalan 1 kilometer di belakang.
“Selain itu kalau pergi membeli-belah, saya pasti akan cari tempat untuk duduk tapi sekarang tidak lagi,” katanya kepada Gempak.
Maria berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis perkenalan barisan peserta Kilauan Emas Selebriti, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Maria turut meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik sehingga tidak lagi perlu mengambil ubat darah tinggi yang dimakannya sejak 19 tahun lalu, selain tidak perlu memulakan pengambilan ubat diabetes dan kolesterol seperti yang disarankan doktor sebelum ini.
“Selepas membuat pembedahan itu, saya rasa kesihatan saya bertambah baik. Saya sudah berhenti mengambil ambil ubat darah tinggi selepas 19 tahun memakannya dan tak perlu mula memgambil ubat kecing manis serta kolesterol.
“Setiap bulan saya melakukan ujian darah dan doktor mendapati fungsi dalaman saya ibarat wanita berusia 18 tahun. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana sekarang sudah sihat tanpa penyakit tiga serangkai.”
Dalam masa sama, Maria menjelaskan keputusan menjalani pembedahan bariatrik bukan dibuat demi mengejar penampilan, sebaliknya kerana mahu menikmati kehidupan yang lebih sihat bersama keluarga.
“Saya tidak pernah melakukan pembedahan bariatrik untuk kelihatan cantik. Malah saya sejak dulu tidak pernah mengambil pusing soal itu.
“Perhatikan video masakan saya di Instagram, saya sentiasa kelihatan selekeh tanpa mengenakan secalit solekan dengan rambut yang tidak terurus. Itu membuktikan saya tidak pernah menjaga kecantikan saya.
“Yang penting adalah sihat supaya saya dapat menjaga suami dan anak-anak serta cucu saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Maria merupakan salah seorang daripada 10 peserta bagi program yang bakal menemui penonton 22 Ogos depan.
Selain Maria, antara selebriti yang turut menjadi peserta termasuklah Zila Bakarin, Datuk Jalaluddin Hassan, Rashan Baba, Rahim Omar dan ramai lagi.