Sekilas
- Anas Zahrin berjaya mencatat jualan RM1.3 juta dalam sesi siaran langsung 11 jam untuk jenama ANAS Cosmetics sempena kempen 11.11.
- Beliau menerima dua anugerah di TikTok Shop Creator Icon All Star 11.11 Showdown iaitu Top All Star Creator dan RM1 Million Milestones.
- ANAS Cosmetics kini kekal sebagai jenama teratas di TikTok Shop Malaysia dengan rekod jualan hampir 12 juta unit produk.
Usahawan dan pempengaruh, Anas Zahrin mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila jenama miliknya, ANAS Cosmetics berjaya merekodkan jualan sebanyak RM1.3 juta menerusi satu sesi siaran langsung selama 11 jam.
Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan Anas membawa pulang dua anugerah pada acara TikTok Shop Creator Icon All Star 11.11 Showdown yang berlangsung pada Selasa.
Dua pengiktirafan yang diterimanya ialah Creator Icon All Star 11.11 – Top All Star Creator dan Creator Icon All Star 11.11 – RM1 Million Milestones.
Menurut Anas, kejayaan tersebut diraih menerusi sesi jualan langsung tanpa henti yang menawarkan pelbagai produk kosmetik dan wangian pada harga istimewa sempena kempen 11.11.
“Sesi jualan itu membabitkan lebih 13 juta unit membabitkan barangan saya seperti lipmatte, pembayang mata, pelembap bibir dan minyak wangi. Ia sekali gus menjadikan jenama milik saya kekal di tangga teratas.
“Sesi jualan itu membabitkan harga tak masuk akal dari serendah RM1.11 hingga harga kombo mega RM18.90 untuk lapan jenis barangan.
“Saya juga beruntung kerana sesi jualan langsung sepanjang 11 jam itu turut dibantu hos ‘live’ seperti Ashhry Atan, Fara Dina, Ann Zaira dan Yulia.
“Tak lupa pasukan kerja belakang tabir ANAS Cosmetics. Terima kasih kerana turut serta memeriahkan acara ini,” katanya.

Acara berkenaan turut disertai beberapa nama besar industri hiburan dan perniagaan tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Neelofa, Fattah Amin, Amira Othman, Wawa Zainal, Nur Fazura, Diana Danielle dan Datuk Seri Alha Alfa.

Hampir Sedekad Bina Jenama
Bagi usahawan kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, pencapaian tersebut menjadi satu lagi detik bermakna dalam perjalanan membangunkan ANAS Cosmetics yang sudah bertapak hampir sedekad.
Sebelum ini, jenama berkenaan turut dilaporkan menduduki tangga teratas dalam kalangan jenama tempatan di TikTok Shop Malaysia, dengan rekod jualan hampir 12 juta unit.

Pencapaian itu dilaporkan oleh platform dalam talian Echotix Blog pada 18 Julai lalu.

Dalam pada itu, Anas mengakui bersyukur dengan setiap kejayaan yang dikecapinya dan berharap pencapaian tersebut tidak membuatkan dirinya lupa asal usul.
“Saya hanya mampu memanjat syukur dengan setiap kejayaan diraih saban waktu. Moga kejayaan ini semua tidak pernah mengubah diri saya ke arah tidak baik.
“Malah harapan saya semoga kejayaan sebegini akan kekal mengingatkan saya untuk sentiasa berpijak di bumi nyata.
“Besar harapan saya untuk melihat jenama Bumiputera milik sendiri dan lain untuk terus bersaing secara positif dan mampu menandingi jenama antarabangsa,” katanya.
