Sekilas
- Ramona Zamzam berkongsi pengalaman lucu menikmati durian selama 11 tahun berkahwin dengan suami dari Timur Tengah yang tidak tahan bau durian.
Suaminya tidak suka makan durian tapi tetap rajin membukakan buah itu untuk Ramona sebelum segera masuk ke dalam rumah.
Pelakon Ramona Zamzam berkongsi kisah lucu mengenai rutin menikmati durian sepanjang 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang berasal dari Timur Tengah.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Ramona mendedahkan dia terpaksa menikmati durian di luar rumah kerana suaminya tidak tahan dengan bau buah tersebut.
“11 tahun perkahwinan, 11 tahun jugalah saya makan durian di luar rumah. Ini kisah tentang perkahwinan campur kami.
“Saya membesar dengan menikmati durian bersama seluruh keluarga. Malah selepas berkahwin pun, mak ayah memang rajin datang menghantar durian ke rumah.
“Tapi masalahnya Pak Arab sorang tu tak tahan bau durian. Typical foreigners yang rasa durian tu bau busuk haih. Tak boleh makan dan taknak pun rasa makan durian,” kongsinya.
Bagaimanapun kata Ramona, walaupun tidak menggemari durian, suaminya tetap akan membantu membukakan buah tersebut setiap kali dia teringin untuk menikmatinya.
Malah kata Ramona, situasi itu umpama menjadi tradisi dalam rumah tangga mereka apabila suaminya akan membukakan durian sebelum segera masuk ke dalam rumah bagi mengelakkan bau buah tersebut.

“Tapi yang peliknya, dia suka bukak kan durian. (Rami is a technical guy, benda pasang skru, cabut itu ini memang his expertise).
“Jadi, selama 11 tahun ini, saya makan durian di depan rumah macam pengemis. Dia kata, ‘Saya bukakan durian untuk awak, tapi awak makan di luar rumah, ya.’
“Maka tiap tiap tahun beginilah kehidupannya, suami berparang bagai bukakan durian, pastu dia lari masuk rumah, i makan lah depan rumah sorang sorang.
“Tapi tahu tak? Bagus, sebab saya dapat makan lebih banyak durian hahahaha. Bye husband, leave me dan my durian alone,” coretnya.