Skip to main content

Berita

1111 Berselawat, Berdikir Di Kelate Charity Festival! Awie, Nash, Faizal Tahir Antara Penyanyi Akan Turun Padang

KELATE CHARITY

Stadium Sultan Muhammad IV bakal gamat dengan kehadiran lebih 30 selebriti termasuk penyanyi, pelawak dan penceramah yang akan bersama menjayakan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) pada 17 hingga 20 September ini.

Festival amal yang dianjurkan Madoo Bee dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group ini mengangkat slogan “Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate”.

Advertisement

Barisan artis hebat

Menurut koordinator KC Fest, Muhammad Nazrin Mohamad Isa, pemilihan artis dibuat dengan teliti supaya dekat di hati masyarakat Kelantan. 

Antara yang bakal menghiburkan pengunjung termasuk Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan lebih 20 penyanyi dikir tempatan.

“Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya. Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.

“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini,” katanya sambil mensasarkan kehadiran 50,000 pengunjung.

Selawat

Selain persembahan artis, pengunjung juga boleh menyertai Kelate Charity Walk bersama Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra. Aktiviti keluarga turut disediakan termasuk persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur dan push bike.

Segmen kerohanian pula bakal menghimpunkan 1111 peserta selawat dalam Selawat Perdana, diikuti perkongsian ilmu oleh Ustazah Asmak Husin serta penampilan khas Angeline Tan.

“Malam Kebudayaan juga akan memecahkan rekod Kelantan dengan persembahan 1111 orang pendikir di pentas besar, ditutup dengan pertunjukan bunga api,” jelas Nazrin.

Raikan Asnaf, Kukuhkan Budaya

Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin berkata festival ini turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan penaja seperti Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.

“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat.

“Kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara,” katanya.

Menurutnya lagi, dana hasil festival melalui sewaan booth dan penjualan pakaian akan disalurkan ke Tabung KC Fest 2026 dengan sasaran kutipan sebanyak RM500,000.

“Kelantan dipilih kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan. KC Fest membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar.

“Insya Allah, kami berharap KC Fest dapat diangkat menjadi acara rasmi negeri Kelantan setiap tahun, demi rakyat, budaya dan kebajikan,” tambahnya.

Must-Watch Video

Advertisement