Sekilas
- Pelakon Datin Seri Zizie Ezette berkongsi momen terakhir bersama suami tercinta, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah.
- Zizie memuji kebaikan, kemurahan hati, dan kasih sayang suaminya sepanjang 16 tahun perkahwinan mereka.
- Allahyarham meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan Zizie memohon orang ramai mendoakan roh suaminya dicucuri rahmat.
Pelakon, Datin Seri Zizie Ezette berkongsi hantaran memaparkan momen terakhir bersama suami tercinta yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Menerusi perkongsian dibuat, Zizie atau nama sebenarnya Zizie Ezette Abdul Samad menyifatkan suaminya sebagai seorang suami yang penyayang.
"Mereka mungkin tidak mengenali hatinya, tetapi saya tahu.
"Selama 16 tahun saya menyaksikan kebaikannya, kemurahan hatinya, dan kasih sayangnya yang tidak mementingkan diri terhadap manusia,” kongsinya.
Di akhir perkongsian, kakak kepada pelakon, Shaheizy Sam itu meminta orang ramai mendoakan agar roh suaminya dicucuri rahmat.
"Mohon titipkan dia dalam doa anda," ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi Khamis.
Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.
Untuk rekod, Zizie dan Bung mendirikan rumah tangga pada 2009.
Sumber: IG Zizie Ezette