18 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama suami, Aaron, usahawan selebriti Cheta Pot Pet tidak menafikan ada ketika berdepan konflik sehingga hampir membawa kepada perpisahan.
Menurut Cheta, atau Rozita, kunci utama dalam mempertahankan hubungan adalah sikap saling bertolak ansur dan memastikan salah seorang daripada mereka mampu bertenang ketika berlaku perselisihan faham.
“Kalau bergaduh, seorang daripada kita mesti kena bertenang. Kalau dua-dua sedang marah, boleh bercerai.
“Kami pun pernah hampir sampai ke tahap itu. Tetapi disebabkan suami seorang yang kuat dan banyak bersabar, alhamdulillah hubungan kami masih bertahan sehingga hari ini.
“Kadang-kadang duit juga menjadi punca masalah kita, betul tak? Jadi cinta itu pun perlukan duit,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun ke-18 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Jelasnya, keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya kedua-duanya gagal mengawal emosi ketika sedang marah.
Mengulas lanjut mengenai sambutan istimewa itu, Cheta berkata mereka sebenarnya sudah lama merancang untuk meraikan perjalanan perniagaan dan kehidupan bersama, namun hanya menunggu masa yang bersesuaian.
Malah, dia menyifatkan majlis berkenaan sebagai bukti mereka masih mampu bertahan meskipun pernah melalui pelbagai cabaran dan kontroversi.
“Sebenarnya kami sudah lama merancang, tetapi menunggu masa yang sesuai. Semua orang tahu kami pernah jatuh bangun dan melalui pelbagai kontroversi.
“Jadi, apa yang kami lakukan ini menunjukkan kami masih ada dan perniagaan juga masih berjalan lancar.
“Alhamdulillah, hari ini kami meraikan perjalanan suka duka sebagai suami isteri kerana masih mampu mengharungi bahtera perkahwinan sehingga sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cheta menyifatkan hubungan mereka kini berada pada fasa lebih matang selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang mendirikan rumah tangga.
Katanya, mereka sudah merasai pelbagai fasa kehidupan bermula daripada kemanisan awal perkahwinan sehinggalah berdepan perselisihan faham dan detik sukar.
“Fasa manis yang melampau manis baru kahwin, pertengahan, pergaduhan, pahit semua dah.
“Jadi pada fasa sekarang yang kami lalui, alhamdulillah masing-masing dah mengenali satu sama lain sangat-sangat,” ujarnya.
Untuk rekod, Rozita mendirikan rumah tangga bersama Aaron pada September 2011 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.