Sekilas
- Rozi Abdul Razak, pengurus Siti Nurhaliza, mengenang kembali pengalaman menguruskan hari pernikahan penyanyi itu 20 tahun lalu di Masjid Wilayah.
- Walaupun sedang menghadapi masalah peribadi yang membuatkan emosinya terganggu, Rozi tetap kuat dan fokus memastikan majlis berjalan lancar.
- Rozi bersyukur atas kekuatan yang diperoleh dengan izin Allah dan telah menguruskan kerjaya Siti sejak 1999.
Pengurus Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak mengimbas kembali kenangan 20 tahun lalu ketika menjadi antara individu penting yang sibuk menguruskan hari pernikahan penyanyi tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, Rozi mengimbau kembali momen ketika berada di Masjid Wilayah sejak awal pagi bagi meraikan hari bahagia Siti Nurhaliza.
“20 tahun lalu, pagi-pagi saya sudah berada di Masjid Wilayah. Jadi ‘mak pengantin’ yang sangat sibuk dan menjadi orang terakhir meninggalkan masjid petang itu, melayani media terutama dari negara luar,” kongsinya.
Bagaimanapun, di sebalik kesibukan meraikan hari bahagia pelantun lagu Dialah Dihati, Rozi mendedahkan dirinya ketika itu sebenarnya sedang berdepan masalah peribadi sehingga membuatkan emosinya berada dalam keadaan tidak baik.
Katanya, dia perlu mengetepikan segala masalah yang dihadapi dan terus berdiri teguh demi memastikan hari istimewa tersebut berjalan seperti yang dirancang.
“Hari yang saya sangat down dengan masalah sendiri tetapi perlu kuat dan berdiri teguh untuk meraikan hari bahagia orang lain,” ujarnya.
Melihat kembali perjalanan hidupnya selepas dua dekad berlalu, Rozi menyifatkan segala kekuatan yang dimilikinya bukanlah semata-mata kerana dirinya seorang yang kuat.
Sebaliknya, dia percaya kekuatan tersebut hadir dengan izin dan pertolongan Allah SWT.
“Melihat kepada diri hari ini, saya bersyukur. Bukan saya kuat, Allah yang bagi saya kekuatan itu,” katanya.
Sekadar info, Rozi telah menguruskan kerjaya Siti Nurhaliza sejak tahun 1999.
Pada 21 Ogos 2006, Siti Nurhaliza selamat mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Hasil perkahwinan tersebut mereka berdua dikurniakan dua cahaya mata Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.