Sekilas
- T-REX, bekas vokalis utama Kamikaze, melancarkan lagu Hari Kebangsaan pertamanya berjudul ‘Jiwa Merdeka’ selepas 25 tahun dalam industri muzik.
- Lagu ini mengekalkan identiti rock T-REX sambil menyampaikan mesej patriotik tentang perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
- Video muzik ‘Jiwa Merdeka’ menampilkan T-REX bersama pemuzik dan penari dengan konsep ceria dan santai, kini boleh didengarkan di platform digital utama.
Selepas 25 tahun mengharungi perjalanan dalam industri muzik, bekas vokalis utama kumpulan Kamikaze, T-REX mencipta satu lagi sisi baharu dalam karier seninya menerusi lagu ‘Jiwa Merdeka’.
Menariknya, biarpun sudah tiga dekad bergiat dalam bidang persembahan, karya tersebut menjadi lagu Hari Kebangsaan pertama pernah dirakamkan penyanyi rock berkenaan.
Kemunculan ‘Jiwa Merdeka’ juga meneruskan momentum T-REX selepas kembali aktif dalam industri muzik tahun ini, sekali gus menandakan kemunculan semulanya menerusi karya original.
Menurut T-REX, peluang menghasilkan lagu berunsurkan patriotik cukup bermakna kerana sambutan kemerdekaan mempunyai pengertian lebih besar daripada sekadar acara tahunan.
“Ini merupakan lagu Hari Kebangsaan pertama saya. Bagi saya, Merdeka bukan sekadar satu sambutan yang diraikan setiap tahun, tetapi sesuatu yang dekat di hati kita sebagai rakyat Malaysia. Melalui ‘JIWA MERDEKA’, saya ingin menyampaikan semangat kebersamaan dan mengajak semua untuk sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan penuh rasa bangga dan gembira.”
Menerusi karya tersebut, T-REX masih mengekalkan identiti rock yang cukup sinonim dengan perjalanan muziknya, namun kali ini digabungkan dengan mesej mengenai kecintaan terhadap tanah air, perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
‘Jiwa Merdeka’ turut membawa ungkapan “Satu Suara. Satu Jiwa. Satu Malaysia” sebagai antara mesej utama yang mahu disampaikan.
Sementara itu, individu yang menerajui konsep kreatif dan perancangan projek berkenaan, Melissa Ng berkata, mereka sengaja memilih pendekatan lebih santai dan ceria berbanding menghasilkan sebuah lagu patriotik yang terlalu berat.
“Bagi saya, sambutan Hari Kebangsaan sepatutnya diraikan dengan perasaan gembira dan penuh semangat. Sebab itu, kami mahu ‘JIWA MERDEKA’ membawa suasana yang lebih santai, ceria dan mudah dinyanyikan bersama.”
Melissa turut bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit ‘Jiwa Merdeka’, manakala susunan muzik dilakukan bersama Yon Iskandar.

Yon turut bertanggungjawab dalam proses mixing dan mastering karya berdurasi tiga minit 26 saat itu.
Dalam pada itu, video muzik ‘Jiwa Merdeka’ turut diberikan sentuhan meriah apabila T-REX tampil bersama pemuzik serta 14 penari.
Diarahkan Fareeq Alias dengan produksi oleh Stereo Pixels, video muzik berkenaan turut mengetengahkan kostum bertemakan Hari Kebangsaan dengan konsep kreatif serta rekaan kostum dikendalikan Melissa.

Untuk rekod, T-REX mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang persembahan dan 25 tahun dalam industri muzik.
Namanya cukup dikenali sebagai bekas vokalis utama Kamikaze menerusi lagu seperti ‘Luhur’, ‘Tawa Dalam Tangisan’ dan ‘Pergi Selamanya’.
Kini, menerusi ‘Jiwa Merdeka’, T-REX membuka lembaran baharu selepas kemunculan semulanya dengan membawa identiti Malay Rock ke dalam sebuah karya bersemangat patriotik.
‘Jiwa Merdeka’ kini boleh didengarkan menerusi platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.