Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu rasmi Hari Kebangsaan 2025 iaitu Malaysia Madani Rakyat Disantuni.
Menurut Siti, pada usia 46 tahun dengan lebih tiga dekad berada dalam industri muzik, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima tawaran istimewa ini.
Advertisement
“Pada usia 46 tahun saya dan 30 tahun berada dalam industri muzik, saya tak pernah menjangka akan menerima tawaran menyanyikan lagu Hari Kebangsaan 2025.
“Sewaktu tawaran ini disampaikan, saya dengan rendah hati menerimanya kerana lagu-lagu seumpama ini sangat dekat dengan jiwa dan juga portfolio karier saya,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Siti turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi Malaysia atas kepercayaan yang diberikan, selain berterima kasih kepada pencipta lagu, Affan Mazlan, yang berjaya menghidupkan kembali sentuhan lagu patriotik penuh nostalgia.
“Terima kasih kepada @komunikasi_gov yang telah memberi kepercayaan kepada saya dan juga kepada pencipta lagu @affan.mazlan kerana telah 'membawa' kembali nostalgia lagu-lagu sebegini pada era kini,” tambahnya.
Berkongsi perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia, Siti menyifatkan keharmonian serta perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat berbilang kaum adalah keistimewaan terbesar negara ini.
“Saya bersyukur menjadi anak Malaysia. Melihat seluruh bangsa bersatu adalah sesuatu yang melambangkan keunikan dan keistimewaan negara ini.Kita peliharalah keharmonian ini sampai bila-bila,” ujarnya.