Sekilas
- Tiga penyampai 3Pagi ERA, Nabil, Pak Azad dan Radin, akan melakukan terjunan udara dari ketinggian 14,000 kaki di Terengganu pada 18 November ini.
- Cabaran ini bertujuan menyampaikan mesej keberanian untuk keluar dari zon selesa dan mengatasi ketakutan terhadap ketinggian, walaupun mereka sendiri ada rasa gerun.
- Pengalaman ini akan dikongsi secara langsung di platform media sosial rasmi ERA untuk pendengar merasai keterujaan dan debaran sepanjang cabaran berlangsung.
Tiga penyampai 3Pagi ERA Nabil, Pak Azad dan Radin bakal mencipta pengalaman luar biasa apabila mereka dijadualkan melakukan terjunan udara (skydiving) dari ketinggian 14,000 kaki di Terengganu pada 18 November ini.
Cabaran istimewa itu bukan sekadar untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pendengar, malah membawa mesej keberanian untuk keluar daripada zon selesa, mengatasi rasa takut dan berani mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, ketiga-tiga penyampai 3Pagi ERA sebenarnya mempunyai rasa gerun terhadap ketinggian, khususnya Radin dan Pak Azad. Namun, perkara itu tidak menghalang mereka daripada menyahut cabaran tersebut demi membawakan pengalaman siaran radio yang lebih luar biasa kepada pendengar.
“Konsep yang ingin kami sampaikan adalah be bold berani mengatasi rasa takut dan mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan. Walaupun ketiga-tiga mereka mempunyai ketakutan terhadap ketinggian, mereka tetap bersedia untuk menyahut cabaran ini.
“Kami mahu pendengar bukan sahaja mendengar pengalaman mereka di udara, tetapi turut merasai keterujaan dan debaran sepanjang cabaran ini berlangsung,” katanya.
Menurut Azah, aktiviti tersebut pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan pada Oktober lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang tidak mengizinkan.
Bagaimanapun, cadangan tarikh baharu yang dikemukakan oleh Zharif Ghazi hari ini, telah dipersetujui oleh ketiga-tiga penyampai sekali gus membuka ruang untuk cabaran itu direalisasikan.
Pastinya, pengalaman berada pada ketinggian 14,000 kaki sebelum melakukan terjunan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi buat mereka yang sememangnya mempunyai rasa takut terhadap ketinggian.
Mampukah ketiga-tiga penyampai 3Pagi ERA mengatasi ketakutan masing-masing dan menyempurnakan cabaran luar biasa ini? Ikuti perkembangan seterusnya menerusi 3Pagi ERA di platform media sosial rasmi ERA.