Skip to main content

Hiburan

4 Dekad Dalam Industri, Rosyam Nor Tak Pernah Ambil Pembantu - “Itu Amalan Orang Lama”

Rosyam Nor

Ringkasan AI

  • Datuk Rosyam Nor mengaku tidak pernah mempunyai pembantu peribadi sepanjang hampir 40 tahun dalam industri seni.
  • Beliau mengurus sendiri jadual kerja dan sentiasa menepati masa tanpa masalah disiplin.
  • Rosyam kini mempertimbangkan untuk mengambil pemandu peribadi atas permintaan keluarga demi keselamatan ketika memandu lewat malam.
  • Beliau tetap suka memandu sendiri walaupun keluarga risau tentang keselamatannya.
  • Rosyam Nor kini muncul dalam filem aksi terbaharu, Banduan, yang telah ditayangkan di pawagam sejak 6 November 2025.

Pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor akui tidak pernah mempunyai pembantu peribadi sepanjang empat dekad bergelar anak seni. 

Meskipun tanpa pembantu, Rosyam atau nama lengkapnya Mohamed Noor Shamsuddin,58, nyatakan dia tidak pernah lewat ke set penggambaran dan mempunyai sebarang masalah daripada segi disiplin.  

"Saya urus sendiri karier saya, susun sendiri jadual kerja dan sebagainya. Dan saya jugalah yang akan melayan kalau ada pengamal media mencari saya. Inilah saya selama hampir 40 tahun dalam dunia seni.

"Sudah terbiasa sejak dulu tanpa pemandu, pengurus atau pembantu. Dulu gaji pelakon 'cukup-cukup makan', tak mampu nak guna khidmat pembantu. 

“Tapi sehingga sekarang ini, meskipun begitu, saya tak pernah lewat ke set penggambaran atau bermasalah daripada segi disiplin. Saya dari dulu memang menjaga komitmen kerja. Itu amalan orang lama," katanya. 

Bagaimanapun, Rosyam mengakui kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil pemandu peribadi atas permintaan keluarga yang bimbang akan keselamatannya, terutama ketika memandu pulang lewat malam selepas bekerja.


"Saya memang suka memandu sendiri ke mana sahaja saya pergi. Tapi isteri dan anak-anak pula risau kerana saya tak berteman kalau pulang lewat dari bekerja. Mereka risau saya memandu dalam keadaan mengantuk dan sebagainya.

"Jadi sekarang ini saya sedang pertimbangkan untuk mendapatkan pemandu peribadi," tambahnya. 

Dalam perkembangan lain, Rosyam Nor kini muncul dalam filem terbaharunya iaitu Banduan. 

Filem aksi ini diinspirasikan daripada filem pecah panggung India iaitu Kaithi dan dibawah arahan Kroll Azry.

Selain Rosyam Nor, Banduan menampilkan pelakon-pelakon hebat antaranya, Datuk Aaron Azin, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.

Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Number Twenty One Media, telah menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia sejak 6 November 2025.  

Must-Watch Video

Advertisement