Sekilas
- KRU akan membuka KRU Café di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga tahun ini, menawarkan pengalaman muzik dan hiburan yang meraikan legasi kumpulan tersebut.
- Kafe ini bukan sahaja tempat makan, tetapi juga ruang interaktif untuk peminat berkumpul dan menikmati persembahan muzik serta aktiviti komuniti.
- KRU Café dibangunkan bersama Sony Music Malaysia, TMG Ventures dan Babah Ventures, dengan menu gabungan hidangan Asia Tenggara dan Barat yang dijangka berkembang ke seluruh Malaysia.
Selepas mencipta fenomena menerusi siri konsert yang mencatat jualan habis di Malaysia dan Singapura, kumpulan legenda KRU kini mengumumkan satu lagi projek baharu apabila bakal membuka KRU Café, sebuah kafe bertemakan muzik dan hiburan di Aneka Walk, Shah Alam pada suku ketiga tahun ini.
Lebih menarik, KRU Café bukan sekadar menawarkan makanan dan minuman, malah menjanjikan pengalaman yang meraikan legasi muzik kumpulan ikonik itu.
Berikut lima perkara menarik yang anda perlu tahu.
1. Idea tercetus selepas fenomena konsert KRU
KRU mendedahkan idea mewujudkan kafe tersebut lahir selepas menyaksikan sendiri sambutan luar biasa peminat terhadap siri konsert mereka, selain lagu-lagu KRU kembali mendapat perhatian di platform penstriman seperti Spotify dan Shazam.
Menurut Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Kenny Ong, projek itu membuka peluang untuk membawa hubungan antara KRU dan peminat ke satu dimensi baharu.
"Apa yang paling menarik perhatian kami ialah peluang untuk mengembangkan hubungan KRU dengan para peminat melangkaui muzik kepada satu pengalaman gaya hidup yang lebih imersif. KRU Café pada akhirnya adalah tentang menghidupkan semula legasi mereka dengan cara yang segar dan menarik," katanya.
2. Bukan sekadar kafe, tetapi ruang buat peminat berkumpul
Selain menikmati hidangan, pengunjung turut boleh merasai suasana yang diinspirasikan daripada perjalanan seni KRU menerusi elemen muzik, nostalgia serta pelbagai pengalaman interaktif.
Edry Abdul Halim berkata, pembukaan KRU Café adalah cara baharu mereka menghargai sokongan peminat yang tidak pernah putus sejak beberapa dekad lalu.
"Kami sentiasa amat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang telah diberikan oleh para peminat sepanjang beberapa dekad ini. KRU Café merupakan satu lagi cara untuk kami terus berhubung dengan mereka sambil mencipta pengalaman yang lebih bermakna bersama," katanya.

3. Mahu jadi platform lahirkan bakat baharu
KRU turut merancang menjadikan kafe tersebut sebagai ruang untuk persembahan muzik secara langsung, kolaborasi kreatif serta aktiviti komuniti.
Yusry Abdul Halim berkata, beliau berharap KRU Café mampu menjadi platform mencungkil lebih ramai bakat baharu.
"Kami juga berharap KRU Café dapat menjadi sebuah platform untuk mencungkil, membimbing dan mengetengahkan bakat-bakat baharu. Lebih daripada sekadar sebuah tempat makan, kami membayangkan kafe ini sebagai ruang yang menghidupkan persembahan muzik, kolaborasi kreatif dan pelbagai aktiviti komuniti," katanya.
4. Ajak Shiro antara individu di sebalik projek ini
KRU Café dibangunkan menerusi kerjasama Sony Music Malaysia, TMG Ventures dan Babah Ventures, syarikat di sebalik jenama Bumbu Babah yang diasaskan bersama pelawak Ajak Shiro.
Menurut Ajak, beliau tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan menyertai projek tersebut.
*"Apabila Sony Music pertama kali membentangkan projek ini kepada kami, kami bersetuju untuk terlibat sebelum mesyuarat pertama itu pun selesai.
"Ia merupakan satu penghormatan yang amat besar buat kami untuk bekerjasama dengan KRU. Mereka ialah legenda negara dan antara artis muzik paling berpengaruh yang pernah dilahirkan oleh Malaysia," katanya.

5. Menu Asia Tenggara & Barat menanti pengunjung
Dijadualkan dibuka di Aneka Walk, Shah Alam, KRU Café bakal menawarkan gabungan hidangan Asia Tenggara dan Barat termasuk sajian panggang premium serta stik.
Norman Abdul Halim pula optimis konsep itu mampu berkembang ke seluruh negara sekiranya cawangan pertama menerima sambutan menggalakkan.
*"Kami amat kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Ajak dan pasukannya melalui Bumbu Babah. Membangunkan hampir 60 cawangan dalam tempoh kurang daripada dua tahun merupakan satu pencapaian yang luar biasa.
"Kami yakin sekiranya cawangan pertama menerima sambutan seperti yang kami jangkakan, KRU Café mempunyai potensi besar untuk berkembang ke seluruh Malaysia," katanya.